28 October 2008

NAJIB TUN ABDUL RAZAK – hapuskan DEB dan “layanan istimewa” kepada orang Melayu

Laporan www.malaysiakini.com memetik, Najib mahu menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu secara beransur-ansur dan dikatakan bahawa ini adalah ikrar pembangkang. Kenyataan Najib dalam www.malaysiakini.com adalah seperti berikut:

Bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau bersedia menamatkan layanan istimewa terhadap kaum majoriti orang Melayu - ikrar yang digunakan oleh pihak pembangkang, yang mengakibatkan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Bagaimanapun, program itu yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang diperkenalkan pada 1971, mesti ditamatkan 'secara beransur-ansur', kata Najib dalam wawancara dengan Televisyen Bloomberg yang disiarkan hari ini.

"Jika kita tidak berubah, rakyat akan mengubah kita," kata Najib, 55, di pejabatnya di Putrajaya.

"Dalam tempoh masa tidak lama lagi, kita akan menyaksikan semua elemen Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan diganti," kata Najib tetapi beliau tidak menyatakan bila ianya akan dilakukan.

DEB digubal oleh bapa Najib, yang juga perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein - melalui peruntukan pekerjaan, rumah murah serta faedah yang lain. Kira-kira 65 peratus daripada 27 juta rakyat Malaysia adalah orang Melayu.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN kembali berkuasa tetapi gagal mempertahankan penguasaan dua pertiga di Parlimen. BN juga tewas di empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor - dan PAS berjaya mengekal Kelantan dengan tambahan kerusi.

Menurut Bloomberg, dengan menawar untuk memansuhkan DEB, dalam tempoh masa yang tidak ditetapkan, dan menggantikannya dengan sistem berasaskan keperluan, Najib dilihat mengambil pendekatan hampir sama dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga menyokong satu sistem yang berasaskan keperluan.

Sinopsis jika kita tidak berubah,rakyat akan mengubah kita adalah tepat. Tetapi adakah ini tepat dari sudut menghapuskan keistimewaan orang Melayu semata-mata takut rakyat akan mengubah kita? Adakah Melayu sendiri akan mengubah pendirian sekiranya pendirian UMNO adalah untuk mempertahankan Melayu, menjaga hak orang Melayu dan memperkasakan Melayu. Melayu tidak akan menyokong sebarang usaha untuk menggadaikan hak orang Melayu dalam skop ketakutan kehilangan kuasa.



Kita perlu akui bahawa UMNO dan Barisan Nasional tewas adalah kerana gagal bertindak sebagai satu organisasi yang pragmatik. UMNO dan Barisan Nasional yang membentuk kerajaan gagal dalam melaksanakan kepimpinan pelapis yang mempunyai idealisme tinggi dan mantap malah organisasi yang ada lebih mirip untuk menerima ciri-ciri kepimpinan feudalisme dan membentuk nilai kepentingan bangsawan sebagai ciri utama dalam penyerahan kuasa. Ahli UMNO sendiri terselit dengan budaya ini dan ini sebenarnya tidak menampakkan UMNO sebagai satu parti yang berjiwa rakyat.

Melenyapkan DEB atau menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu

DEB dikatakan punca. Rakyat sudah mahukan kesamarataan – tidak ada pegangan hak keistimewaan dan DEB di tolak sebagai polisi diskriminasi kaum. Ia akan diganti tetapi tidak ada formula baru diberikan untuk menggantikan tindakan melenyapkan DEB dan hak keistimewaan orang Melayu. Langkah melenyapkan perlu – kata Najib Tun Abdul Razak tetapi haruskan langkah melenyapkan DEB bermirip melenyapkan hak keistimewaan orang Melayu. Kenapa perlu dilenyapkan dan kenapa tidak dimaklumkan dengan tegas dan jelas bahawa peruntukkan hak keistimewaan itu sudah sedia maklum ada dan perlu ada tetapi apa yang penting adalah implementasi yang berkesan untuk meningkatkan taraf hidup dan kedudukan orang Melayu itu sendiri.

Kenyataan Najib perlu diteliti

Kenyataan dan laporan www.malaysiakini.com mengenai kata-kata Najib untuk melenyapkan hak keistimewaan amat tidak wajar dan kemungkinan tidak tepat untuk dilaksanakan. Hak Keistimewaan Orang Melayu, Kontrak Sosial dan kedudukan Melayu dalam perlembagaan perlu di pertahankan kerana usaha menghapuskan akan merugikan apa yang telah diperuntukkan untuk kita oleh Perlembagaan.

Kita perlu mencari resolusi yang berkesan dan Najib di minta melihat keluar dari kepompong politik bermatlamat ini. ~ umno-reform2

No comments:

Post a Comment