NUSA TENGGARA BARAT (Mataram) 28 Okt. - Selepas 54 hari terpisah, Noorfadilah Ahmad akhirnya disatukan kembali dengan ibu bapanya dalam pertemuan penuh emosi di sini hari ini.
Pejabat Imigresen Daerah Mataram yang selalunya sibuk, bertukar hiba apabila Noorfadilah menyedari kehadiran ibu bapanya, Ahmad Abdul Hamid, 46, dan Masitah Abdullah, 42, yang dibawa ke sini oleh Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO semalam.
Dalam pertemuan pukul 1.45 petang itu, Noor Fadilah terus menerpa dan memeluk bapanya sebaik sahaja bersua.
Suasana tegang bertukar penuh emosi apabila Masitah keluar dari kereta dan terus memeluk anak sulung kesayangannya sambil menangis, disaksikan lebih 50 orang termasuk Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
"Tak sayang mama ke?" tanya Masitah kepada anaknya yang menangis teresak-esak dan sesekali kedengaran Noorfadilah yang baru berusia 18 tahun itu berkata "sayang" sambil memohon maaf berkali-kali.
Pertemuan penuh emosi itu berlanjutan hampir 10 minit sebelum mereka memasuki Pejabat Imigresen bagi menyelesaikan masalah dokumen perjalanan Noor Fadilah yang masuk ke Lombok secara haram sejak 6 September.
Noorfadilah yang berasal dari Bagan Serai, Perak, mengikut Nasrudin ke Lombok pada 3 September lepas (dari Malaysia) tanpa keizinan ibu bapanya yang tidak merestui hubungan cinta pasangan itu.
Pasangan itu dikatakan berkahwin di Batu Belik, Aimal, Lombok Timur, 11 Oktober lalu dan ia ditentang keras bapa Noorfadilah selaku wali yang sah.
"Ini sudah jodoh dan takdir kami. Saya akan minta maaf kepada bapa Fadilah.
"Kalau perlu saya akan cium kakinya," kata Nasrudin ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Pejabat Imigresen Mataram.
Pada 4 September, Ahmad membuat laporan polis dan meminta mana-mana pihak membantunya membawa pulang Noorfadilah dan rayuannya itu mendapat perhatian Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO.
Mengikut undang-undang Indonesia, seseorang individu yang masuk secara tidak sah ke negara itu boleh dikenakan hukuman penjara enam tahun atau denda 30 juta rupiah.
Namun hasil rundingan antara Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO yang diwakili Abdul Azeez dan Kepala Seksyen Pengawasan dan Penindakan Imigresen Daerah Mataram, M. Adnan, Noorfadilah dibenar pulang tanpa dikenakan hukuman.
"Apa yang penting, semua pihak perlu belajar daripada perkara itu supaya tidak berulang. Ini adalah usaha kecil sekretariat untuk membantu masyarakat," katanya yang berpuas hati misi membawa pulang Noorfadilah berjalan lancar dengan bantuan semua pihak termasuk Imigresen dan polis tempatan.
Sebelum itu Abdul Azeez yang dikerumuni orang ramai termasuk anggota keluarga Nasrudin menasihatkan pemuda berasal dari Lombok Timur itu menyelesaikan perkara itu mengikut undang-undang dan adat budaya Melayu.
"Jangan pisahkan mereka, saya bisa stres" kata ibu Nasrudin, Rumini, 55, yang mahu perkara itu diselesaikan secara baik selepas Noorfadilah ditahan Imigresen Mataram sejak 16 Oktober lepas.
Nasrudin yang dibenar berjumpa ibu Noorfadilah di Lapangan Terbang Silaparang, Mataram, berkali-kali meminta maaf kepada Masitah atas tindakan mereka berdua itu.
Rombongan Sekretariat yang membawa pulang Noorfadilah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam ini. ~ Utusan
* Fadilah dalam tahanan Imigresen Daerah Mataram kerana masuk Indonesia tanpa kebenaran. Pulang ke Malaysia bukan kerana 'kerelaan'?. Dicadangkan masukkan segera ke pusat pemulihan akhlak.
No comments:
Post a Comment