Wanita Mati Dalam Kejadian Samun Ketika Bersahur, Dua Penjenayah Kecundang
SHAH ALAM, 9 Sept (Bernama) -- Seorang wanita meninggal dunia di hospital akibat ditikam dan dikelar sekumpulan empat penjenayah, dua daripadanya mati ditembak, dalam kejadian samun di sebuah rumah di Seksyen 13 pagi tadi ketika penghuninya sedang bersahur.
Raja Noriana Raja Ahmad, 41, meninggal dunia di Pusat Perubatan Selangor dekat sini akibat kecederaan yang dialami ketika bergelut dengan penjenayah itu manakala seorang anak perempuannya berumur 18 tahun patah pinggang ketika terjun dari tingkat dua untuk cuba melarikan diri, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar kepada pemberita di tempat kejadian.
Seorang lagi anak perempuannya berumur 20 tahun yang turut terjun cedera ringan manakala suaminya sempat menyelamatkan diri dari tingkat bawah.
Khalid berkata polis menerima laporan pada pukul 4.45 pagi dan apabila tiba di lokasi, mendapati dua suspek berada di luar kawasan rumah berkenaan.
"Polis menahan suspek berkenaan tapi pada masa yang sama dua lagi anggota kumpulan samun itu berada dalam rumah," katanya.
Beliau berkata sebaik menyedari dua daripada rakan mereka telah ditahan polis, penjenayah yang berada dalam rumah bertindak menjadikan Raja Noriana sebagai tebusan dan mengurungnya di bilik utama manakala suami dan dua anaknya berjaya menyelamatkan diri.
"Dalam rundingan dengan dua suspek berkenaan kira-kira tiga jam supaya melepaskan tebusan, penjenayah terbabit enggan bekerjasama dan mula bertindak ganas dengan membakar bilik mangsa dan mencederakannya," katanya.
Khalid berkata sebaik mendapati penjenayah mula bertindak demikian, polis menyerbu masuk dan melepaskan tembakan ke arah dua suspek berkenaan yang bersenjatakan sepucuk pistol dan beberapa bilah parang.
"Kedua-dua penjenayah itu mati manakala Raja Noriana cedera ditikam pada bahagian leher dan bahunya dikelar dengan parang," katanya.
Raja Noriana dikejarkan ke Pusat Perubatan Selangor dekat sini namun gagal diselamatkan dan meninggal dunia pada 9.25 pagi.
Khalid berkata siasatan awal mendapati kesemua penjenayah berkenaan berumur dalam lingkungan 20-an dan dipercayai kumpulan sama yang terbabit dalam enam kes samun rumah di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Seorang daripada mereka memiliki pasport yang tamat tempoh manakala selebihnya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata polis juga mendapati pistol yang digunakan oleh kumpulan penyamun itu adalah hasil rompakan di rumah seorang kakitangan awam di Seksyen 3 di sini pada 3 Sept lepas.
Keluarga itu dipercayai baru berpindah ke rumah itu yang terletak di kawasan perumahan yang baru dibuka dan belum ramai penghuni.
Polis percaya terdapat dua lagi anggota kumpulan penyamun itu yang masih bebas.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment