Tindak tegas terhadap pihak sentuh isu perkauman - Panglima ATM
PETALING JAYA: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen. Tan Sri Abdul Aziz Zainal menyarankan agar kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang membangkitkan isu-isu berbaur perkauman kerana perbuatan sedemikian boleh mencetuskan keadaan huru-hara.
Beliau menyatakan demikian pada majlis menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepadaATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kuala Lumpur sebentar tadi.
Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.
Jelas Abdul Aziz, isu-isu perkauman tidak seharusnya disentuh kerana ia boleh mencetuskan keadaan tidak aman di negara ini.
"Perkauman merupakan isu yang paling dikhuatiri pasukan keselamatan kerana ia boleh mencetuskan huru-hara. Ia ancaman terhadap keselamatan," kata beliau.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula memberitahu, politik jalanan masih dalam kawalan dan pihaknya dapat memelihara keamanan.
Bagaimanapun tegas beliau, pasukan polis berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi keadaan huru-hara sekiranya tercetus.
"Kami bersedia untuk bekerja siang dan malam, (tanpa mengira) hujan atau panas, tanpa makanan dan minuman untuk menangani ancaman-ancaman sedemikian," katanya.
Dalam pada itu, Rafidah pula menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak membangkitkan soal latar belakang asal usul mana-mana kaum dan kesetiaan mereka.
Malah, kata beliau, demonstrasi jalanan dan politik jalanan seharusnya ditolak sama sekali demi keamanan dan keselamatan negara.
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment