12 September 2008

Padanlah pelabur asing tidak mahu melabur di Malaysia

Penahanan Raja Petra Wajar, Kata Ahmad Shabery

KEMAMAN, 12 Sept (Bernama) -- Penahanan penulis blog Raja Petra Kamarudin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah wajar kerana artikelnya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW) boleh menimbulkan kemarahan kepada umat Islam di seluruh dunia, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kerajaan terpaksa bertindak sedemikian kerana tindakan Raja Petra telah menyentuh sensitivi umat Islam dan boleh mengancam keselamatan negara.

"Saya minta rakyat Malaysia melihat perkara ini sebagai satu yang positif kerana penahanan (Raja Petra) dibuat bukan atas alasan kerajaan tidak menerima konsep kebebasan bersuara tetapi ia telah disalahgunakan.

"Penulis blog berkenaan telah membenarkan kenyataan secara terang-terangan menghina Nabi Muhammad yang amat sensitif bagi umat Islam negara ini dan seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Felda Neram Satu dekat sini.

Raja Petra ditahan hari ini mengikut ISA dekat Kuala Lumpur berikutan artikelnya bertajuk "I promise to be a good, non-hypocritical Muslim" yang menggunakan ayat-ayat menghina orang Islam selain membenarkan ulasan yang menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW) untuk artikel "Not all Arabs are descendant of the Prophets" yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kerajaan tidak mahu tindakan Raja Petra itu berlarutan sehingga menimbulkan perasaan marah kepada umat Islam di seluruh dunia seperti mana yang berlaku akibat penyiaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad oleh sebuah akhbar di Denmark dan penerbitan filem "Fitna" di Belanda.

"Saya mengharapkan umat Islam dalam negara ini menyokong tindakan yang dibuat kerajaan sebagai satu amaran keras kepada sesiapa yang menyalah guna kebebasan bersuara dengan mengizinkan orang menulis, mengeluar pendapat atau membuat kenyataan yang melukakan hati umat Islam.

"Begitu juga kenyataan yang menghina penganut agama lain. (Ini kerana) apabila orang (luar) buat karikatur dalam sebuah akhbar dan menerbit filem yang menghina Nabi Muhammad, rakyat negara lain keluar melakukan demonstrasi. Kerajaan tidak mahu tulisan rakyat ini pula mencetuskan kemarahan kepada umat Islam di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata langkah kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan terhadap mana-mana laman web atau blog adalah bagi membolehkan kebebasan bersuara dapat dilaksanakan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata jika tulisan berkenaan menimbulkan ketegangan kaum dan agama, maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penulis blog terbabit bagi melindungi kepentingan orang lain. "Secara prinsipnya, mereka (penulis blog) boleh menulis atau memberikan pendapat. Oleh itu, saya menyeru umat Islam di negara ini tanpa mengira fahaman politik supaya bersatu supaya sama-sama menerima tindakan kerajaan itu (terhadap penahanan Raja Petra) sebagai amaran kepada orang lain supaya tidak menyalah guna kebebasan bersuara," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment