24 September 2008

Menyakitkan hati dan tidak bertanggungjawab | Polis patut malu menyalahkan masyarakat setelah gagal menjalankan tugas dengan cemerlang

Sikap Negatif Masyarakat Mungkin Penyebab Jenayah Terus Berleluasa

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Sikap masyarakat yang tidak ambil peduli dengan keadaan persekitaran mereka mungkin antara penyebab kejadian jenayah terus berleluasa di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Bakri Zinin berkata adalah sulit untuk menyelesaikan sesuatu kes apabila individu yang menyaksikan jenayah enggan tampil untuk menjadi saksi.

"Bukankah telah kita war-warkan, perlindungan keselamatan akan diberi kepada mereka (saksi) yang tampil memberi maklumat kepada kita. Sikap mereka yang takut dan tidak mahu masuk campur itu hanya akan menyulitkan tugas kami, sekaligus menjejaskan siasatan," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, Rabu.

Beliau berkata orang ramai tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan kepada pihak polis sepenuhnya, sebaliknya kerjasama mereka amat berharga dalam memastikan jenayah dapat dibanteras dan penjenayah dibawa ke muka pengadilan.

"Sikap kejiranan juga penting. Kenalilah jiran anda, sikap prihatin jiran-jiran akan dapat membendung gejala jenayah.

"Orang ramai juga disaran supaya banyak melibatkan diri dengan Kempen Cegah Jenayah yang kita selalu adakan. Ini dapat menambah pengetahuan mereka dalam memerangi jenayah," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment