25 September 2008

Kerap tukar pemimpin tetap tidak menghalang Jepun menjadi sebuah negara yang cemerlang | Peristiwa yang membuka mata rakyat Malaysia

Taro Aso PM baru Jepun

TOKYO 24 Sept. - Taro Aso hari ini dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun yang baru dan membariskan anggota Kabinetnya di kalangan golongan konservatif bagi membantu beliau memulihkan ekonomi dan memenangi pilihan raya nanti.

Dewan Rendah Parlimen telah mengundi untuk melantik bekas Menteri Luar itu sebagai Perdana Menteri menggantikan Yasuo Fukuda.

Beliau dijadual berlepas ke New York esok bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Selepas pelantikannya, Aso tunduk sebanyak empat kali dan kemudiannya bersalaman dengan rakan-rakan anggota dewan yang lain.

"Apabila saya melihat situasi kewangan dan perkara-perkara lain, saya merasakan kita berada dalam keadaan bergelora, bukannya keadaan aman.

"Terus-terang saya katakan, saya sekali lagi merasakan tanggungjawab yang perlu saya pikul," katanya kepada pemberita sejurus sebelum majlis pelantikan berkenaan dibuat.

Kelmarin, Aso telah dipilih sebagai pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) dengan mendapat majoriti besar bertujuan menarik sokongan pengundi sebelum pilihan raya umum yang mungkin diadakan tidak lama lagi.

Penganalisis menjangka, beliau akan mengadakan pilihan raya umum paling awal pada hujung Oktober ini dalam usaha mengekang kebangkitan parti pembangkang.

Aso berkata, keutamaan beliau sekarang ialah untuk menggerakkan ekonomi negara kedua terbesar dunia itu yang kini berdepan dengan kegawatan.

Beliau bagaimanapun bakal berdepan dengan penentangan puak pembaharuan yang mahukan pasaran bebas bagi mengekang kenaikan hutang awam.

Antara mereka yang dilantik memegang jawatan utama dalam Kabinet baru ini ialah Takeo Kawamura yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kabinet.

Jawatan Menteri Luar yang dipegang Aso sebelum ini diisi oleh Hirofumi Nakasone dan Menteri Pertahanan dipegang oleh Yasukazu Hamada manakala Menteri Kewangan pula diisi oleh Shoichi Nakagawa.

Kaoru Yosano kekal menjawat jawatan Menteri Ekonomi dan Polisi Fiskal bersama dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Toshihiro Nikai

Jawatan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan diisi oleh Shigeru Ishiba manakala jawatan Menteri Kehakiman diisi oleh Eisuke Mori.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment