'Temberang Penasihat PKR pecah'
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali, mendakwa 'temberang' Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pecah apabila beliau mengakui terpaksa menangguhkan hasrat mengambil alih kerajaan pada 16 September ini.
"Saya tidak terkejut, cuma saya hendak ketawa sekarang...bukan saya menidakkan peranan mereka atau saya berpihak kepada Barisan Nasional (BN) tetapi ini adalah fakta," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau yang mengakui tidak pernah yakin dengan Pakatan Rakyat mencadangkan parti itu menubuhkan kerajaan bayangan daripada memikirkan cara untuk membentuk kerajaan sebenarnya.
Katanya, daripada kerajaan bayangan itu bolehlah setiap pemimpin mereka menanamkan impian terlebih dulu sebelum cita-cita mereka tercapai.
Beliau mengulas mengenai pengakuan Anwar yang hasrat Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini terpaksa ditangguhkan berikutan perkembangan terbaru politik negara.
Ibrahim juga menyindir Anwar yang kelihatan mahu menjadi jaguh menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) apabila meminta kerajaan membebaskan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, berkata, Pas ingin mengetahui sebab sebenarnya penangguhan cadangan pembentukan kerajaan baru itu.
"Kita akan dengar taklimat mengenai perkara ini daripada semua pihak tidak lama lagi," katanya.
Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, bagaimanapun mendakwa tarikh 16 September hanyalah slogan atau semangat bagi membentuk kerajaan yang mungkin berlaku pada tarikh lain.
www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment