'Anwar usah main politik'
Badan Bertindak Perpaduan Melayu minta hormat keputusan
KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang disertai hampir 250 pertubuhan Melayu mendesak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghentikan segera percakapan mengenai pembentukan kerajaan baru.
Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar, berkata pembentukan sesebuah kerajaan seharusnya menerusi proses pilihan raya dan bukan melalui 'pujukan' atau dengan wakil rakyat melompat parti.
Kata beliau, Anwar dan Pakatan Rakyat perlu menghormati keputusan rakyat pada pilihan raya umum lalu.
"Saya tidak pernah dengar cerita begitu mudah parti politik hendak mengambil alih kerajaan dengan menetapkan tarikh. Jika hendak tubuhkan kerajaan, biarlah melalui pilihan raya.
"Saya melihat tindakan Anwar ini hanya memecahbelahkan rakyat kerana dakwaan kononnya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat parti sebenarnya hanya gimik politik," katanya ketika dihubungi, semalam.
Pakar sejarah dan penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, pula meminta Anwar memikirkan masa depan rakyat dan negara serta tidak bermain politik dengan menonjolkan diri sebagai wira sehingga ke tahap keterlaluan.
"Jangan main politik begini, sepatutnya Anwar sudah bersedia dengan idea bernas dan konkrit sebagai ketua pembangkang untuk sama-sama membawa negara ke arah kemajuan dan pada masa sama kerajaan perlu bersedia dengan pandangan kritis pembangkang.
"Saya lihat keadaan ini tidak ada baiknya kerana kestabilan politik negara tergugat dan ini hanya merugikan rakyat," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain, melihat tindakan Anwar sebagai tergesa-gesa dan tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mana-mana pihak.
"Anwar cuba bermain perang psikologi. Ini satu tindakan yang kurang wajar. Kita tidak mahu negara ini berada dalam keadaan kelam-kabut.
"Saya percaya rakyat sudah mengetahui keadaan politik semasa negara dan tahu apakah rancangan sebenar sesebuah parti politik itu," katanya.
www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment