16 September 2008

Abdullah bersara 2010 | Bantahan ahli Umno sia-sia

Tarikh Peralihan Kuasa Kekal, Kata Abdullah

KUALA TERENGGANU, 15 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tarikh peralihan kuasa antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak masih kekal pada 2010.

Perdana Menteri berkata pada masa ini, tarikh yang diputuskan sebelum ini masih kekal dan belum ada keputusan baru mengenai tempoh peralihan kuasa tersebut.

"Pada waktu ini belum lagi (buat keputusan baru). Tarikh 2010 kekal kerana itu adalah apa yang diputuskan secara rasmi dulu," katanya selepas majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah di Masjid Abidin di sini malam ini.

Turut hadir, isteri beliau Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Abdullah dan isteri, yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini kira-kira pukul 6 petang, turut menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada agenda peralihan kuasa merupakan antara perkara yang dibincangkan pada pertemuan beliau dengan Najib hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata perkara peralihan kuasa itu ada dibincangkan ketika pertemuan tersebut tetapi tiada sebarang perubahan terhadap perkara tersebut.

"Kita bincang macam-macam perkara yang berlaku pada waktu ini. Kita cakap apa yang sedang berlaku termasuk itulah (peralihan kuasa) yang sekarang ini heboh mengenainya," kata beliau.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada Jun, 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pelan peralihan kuasa yang telah diumumkan dua bulan lepas itu kini "tenggelam" dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment