KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa, 49, suami kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, hari ini menafikan khabar angin yang mendakwa dirinya sudah berkahwin dengan seorang pramugari, seperti yang tersebar di internet baru-baru ini."Sebenarnya perkara seperti ini, kamu (media) ambil daripada gosip saja... gosip tidak berasas kerana kita tidak tahu dari mana datangnya.
"Saya sedar tentang cerita ini dalam dua tiga hari yang lalu. Itupun kerana ramai rakan saya menghubungi saya untuk tanyakan perkara itu.
"Sejak saya berkahwin dengan Siti, 99 peratus masa saya banyak bersama dengan dia. Jadi, macam mana boleh timbul cerita seperti ini," ujar Khalid yang juga dikenali dengan panggilan Datuk K ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjura Siti Nurhaliza Productions di Menara Yayasan Tun Razak, malam tadi.
Khabar angin tersebut hangat diperkatakan di Internet yang mana Khalid dikatakan sudah bernikah dengan wanita tersebut di luar negara baru-baru ini.
Ditanya sama ada beliau akan menyiasat perkara itu sehingga ke akar umbi, kata Khalid, dia tidak berminat untuk berbuat demikian.
"Saya tak minat untuk siasat. Ini bukan pertama kali perkara seperti ini berlaku. Dulu orang cakap saya pukul Siti lah... macam-macam. Biarkanlah saja.
"Saya harap perkara ini selesai di sini, tetapi jika mereka masih ingin teruskan, saya tidak mampu halang," tutur Khalid yang ditemani Siti di sebelahnya.
Dalam pada itu, Siti juga melahirkan rasa terkilannya ekoran dakwaan tidak berasas terhadap suaminya yang kini sedang hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak.
"Bila saya baca tentang cerita itu, memang dalam hati saya langsung tidak percaya dengan apa yang didakwa. Tetapi sudah tentu bila orang asyik memperkatakan tentang hal ini, saya ada juga bertanyakan kepada suami.
"Walaupun begitu, saya memang sukar untuk mempercayai cerita tersebut. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menaruh apa-apa prasangka terhadap suami," tutur Siti sambil tersenyum.
Siti dan Khalid selamat bergelar suami isteri pada 21 Ogos 2006
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment