'Cadangan Anwar jumpa PM sia-sia'
IPOH: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan pelbagai isu, termasuk keselamatan negara adalah perbuatan sia-sia.
"Dia (Anwar) boleh cakap dalam Parlimen... nak jumpa (Perdana Menteri) sana sini adalah buang masa.
"Jika dia ada cadangan baik, jumpa dalam Parlimen dan cakap. Kenapa perlu nak jumpa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan mana-mana menteri lain.
Dia parti pembangkang... kita (kerajaan) nak buat kerja, jadi tiada masa nak melayan dia saja. Lagipun, mereka (parti pembangkang) ada hak untuk bersuara dalam Parlimen," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan penutup Tilawah Al-Quran Gerakan Belia 4B Perak, di sini, kelmarin.
Mengenai tuduhan Anwar mengaitkan pemimpin Umno menggunakan agama untuk kepentingan parti, Mohd Ali berkata, ia tuduhan tidak berasas.
"Dakwaan Anwar itu hanya omongan kosong kerana beliaulah yang sebenarnya menggunakan agama untuk kepentingan peribadi dan karier politiknya.
"Beliau (Anwar) juga berkawan dengan parti menggunakan agama untuk kepentingan politik masing-masing seperti Pas dan DAP... beliau perlu tengok diri sendiri sebelum menuduh orang lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Ali menyelar tindakan ahli PKR dan DAP yang 'memburu' Ahli Parlimen Barisan Nasional sehingga mengganggu urusan di Taiwan kerana perbuatan itu memalukan negara.
"Cara itu tidak demokratik dan amat memalukan. Tiada dalam sejarah dunia ada parti politik bertindak mengejar Ahli Parlimen yang sudah dipilih secara demokrasi untuk mereka dibeli dan berpindah parti.
"Tindakan mereka itu seperti budak-budak dan memalukan negara. Ia hanya berlaku di Malaysia dan dilakukan PKR diketuai Anwar, selain disokong DAP yang mendakwa parti mereka demokratik," katanya.
Katanya, perbuatan itu jelas menggambarkan PKR dan DAP bukan sebuah parti yang demokratik dan tindakan seumpama itu mengaibkan negara sendiri.
www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment