23 August 2008

Wanita cedera diketuk dengan pistol polis

KUCHING 22 Ogos - Seorang wanita cedera di kepala selepas diketuk dengan sepucuk pistol oleh seorang anggota polis berpangkat koperal manakala seorang lagi diugut oleh anggota yang sama dalam dua kejadian berasingan di sini malam tadi.

Dalam kejadian pertama pada kira-kira pukul 8 malam, mangsa yang berusia 30 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa kuning dilanggar oleh sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki anggota polis terbabit di Jalan Stutong di sini.

Anggota polis berkenaan yang dipercayai dalam pengaruh alkohol terus melarikan diri menyebabkan mangsa mengejar serta membunyikan hon terhadap suspek yang melanggar kenderaannya.

Ekoran tindakan mangsa itu, anggota polis terbabit berhenti lalu menerpa ke arah kereta mangsa dan bertindak mengetuk cermin tingkap kenderaan wanita itu menggunakan sepucuk pistol sambil memarahinya dengan kata-kata kasar serta kesat.

Sementara itu, mangsa yang melihat lelaki tersebut memegang sepucuk pistol berasa takut lalu meminta maaf kepada anggota polis terbabit.

Difahamkan, anggota tersebut terus beredar dan tidak lama kemudian melanggar sebuah lagi kereta Perodua Viva yang dipandu oleh seorang wanita berusia 22 tahun dikenali sebagai Lim (gambar).

Akibatnya, anggota polis dan wanita terbabit telah keluar dan bergaduh sebelum suspek mengeluarkan pistol lalu mengacukan ke arah mangsa.

Mangsa yang cemas melihat pistol dan khuatir ditembak telah bertindak merampasnya daripada anggota terbabit.

Ketika itu berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya merampas semula pistolnya dan mengetuk kepala wanita terbabit dengan senjata api berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan.

Wanita itu kemudiannya meminta maaf dengan anggota terbabit dan suspek beredar.

Mangsa kemudian telah menghubungi polis sebelum sebuah kereta peronda tiba di tempat kejadian.

Siasatan di tempat kejadian telah menemui dompet milik suspek yang dipercayai terjatuh sewaktu dia keluar dari kenderaannya sebelum dia diberkas oleh polis.

Polis menahan anggota berkenaan di Kompleks Kediaman Polis di Tabuan Jaya pada pukul 10 malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh yang ditemui hari ini telah mengesahkan penahanan anggota berkenaan untuk siasatan.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment