Rogol: Pelajar saman anggota polis
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Seorang pelajar berusia 17 tahun menyaman seorang anggota polis berpangkat Konstabel atas dakwaan merogol dan memaksanya melakukan seks oral semasa ditahan di Balai Polis Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini Jun lalu.
Remaja tersebut yang menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya memfailkan tuntutan saman itu kerana mendakwa mengalami perasaan malu, gelisah dan tekanan mental semasa dan selepas kejadian tersebut.
Writ saman difailkan melalui firma guaman, Tetuan Gobind Singh Deo & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Selain menamakan Konstabel Jamil Abdul Sah sebagai defendan pertama, remaja itu selaku plaintif menamakan Ketua Balai Polis Putra Heights defendan kedua dan Kerajaan Malaysia defendan ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, dia telah ditahan oleh defendan pertama yang merupakan anggota polis peronda kira-kira pukul 6.15 pagi, 18 Jun lalu di persiaran USJ23, Subang Jaya, dekat sini.
Dakwa plaintif, dia kemudian telah pergi ke Balai Polis Putra Heights atas arahan defendan pertama untuk siasatan lanjut.
Di situ, dakwa plaintif, dia diugut dan dipaksa oleh defendan pertama untuk melakukan seks oral dan hubungan seks sebelum dia dibebaskan kemudian.
Menurutnya, tindakan defendan pertama itu jelas bertentangan dengan undang-undang kerana menyalahgunakan kuasanya sebagai anggota polis.
Katanya lagi, defendan kedua pula sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa balai polis tersebut adalah selamat untuk orang awam sama ada untuk tujuan aduan atau siasatan.
Berikutan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi khas, kos, faedah dan lain-lain relif.
Pada 18 Julai lalu, Jamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan merogol dan memaksa pelajar itu melakukan seks oral ke atasnya di Balai Polis Polis Putra Heights.
Kes itu akan dibicarakan pada 22 Oktober ini.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment