Minyak: Rakyat lega Harap penurunan harga petrol, diesel kurangkan beban hidup
KUANTAN 22 Ogos – Rakyat berharap penurunan harga runcit petrol dan diesel antara 15 dan 22 sen yang diumumkan oleh kerajaan hari ini akan diikuti dengan penurunan kos hidup yang membebankan ketika ini.
Mereka mengakui pengumuman kerajaan itu sebagai sesuatu yang melegakan rakyat khususnya menjelang ketibaan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Sambil menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat, rata-rata yang ditemui Utusan Malaysia berharap perkembangan ini akan diikuti dengan penurunan harga barangan keperluan yang naik mendadak sejak awal tahun.
Seorang kakitangan kerajaan, Abdul Hadi Mohd. Nor, 44, berharap, penurunan harga minyak itu akan disusuli dengan penurunan harga barangan keperluan yang naik mendadak selepas kenaikan harga bahan api Jun lalu.
‘‘Bahan makanan utama seperti beras mengalami kenaikan harga melampau, diikuti bahan-bahan makanan yang lain.
“Dengan pengumuman baru kerajaan ini, saya berharap agensi-agensi berkaitan akan mengkaji semula harga bahan makanan yang dinaikkan sebelum ini,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan harga runcit petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter, manakala harga runcit diesel sebanyak lapan sen daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter mulai esok.
Pada masa yang sama, harga runcit petrol RON92 dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter.
Pengumuman itu dibuat kerajaan berdasarkan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia masa kini.
Seorang eksekutif jualan, Faridzul Anuar Narawi, 22, berkata, pengurangan harga petrol itu boleh membantunya mengurangkan perbelanjaan bahan api antara 15 hingga 20 peratus.
“Saya banyak melakukan kerja di luar kawasan. Sebelum ini, kos perbelanjaan bahan api boleh mencecah sehingga RM400 sebulan, jadi dengan pengurangan harga minyak ini, ia boleh menjimatkan perbelanjaan,’’ katanya.
Pekerja syarikat swasta, Haslindaroha Hawari, 26, berkata, penurunan harga bahan api itu membolehkannya merancang semula perbelanjaan harian terutama bagi yang sudah berumahtangga selain membolehkan menabung untuk masa depan.
Pekerja swasta, Muhaizenizam Abd. Karim, 29, pula menyifatkan penurunan harga minyak tersebut terlalu sedikit berbanding kenaikan pada Jun lalu.
‘‘Bagi saya, turun sebanyak 15 sen tidak beri banyak kesan, terutama kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Di JOHOR BAHRU, ahli perniagaan, Mohammad Fauzi Ishak, 35, berkata, walaupun sekadar turun 15 sen, namun apa yang penting, trend penurunan harga petrol runcit telah mula dilaksanakan oleh kerajaan.
Pengurus restoran, Mohd. Fairuz Zainal, 28, pula berkata, penurunan harga runcit petrol itu sedikit sebanyak dapat membantunya mengurangkan perbelanjaan minyak motosikal yang mencecah RM200 sebulan sejak kenaikan minyak, Jun lalu.
Mohd. Fairuz gembira dengan langkah yang diambil kerajaan yang sekali gus menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barangan.
Berbeza dengan seorang tukang masak, Mohd. Rafaei Mohamed, 28, yang beranggapan penurunan harga runcit petrol masih lagi rendah jika dibandingkan dengan kenaikan mendadaknya sebanyak 78 sen sebelum ini.
‘‘Masa naik 70 sen, tetapi turun hanya 15 sen padahal harga minyak dunia mengalami kejatuhan yang ketara, ’’ katanya yang menggunakan kereta untuk ke tempat kerja.
Di IPOH, seorang pengguna Nizam Ramli, 37, yang turut melahirkan rasa lega dengan penurunan itu berharap kerajaan mengkaji kadar harga baru itu dari semasa ke semasa bagi kepentingan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah.
Seorang kakitangan awam, Zuraidah Adnan, 51, berkata, penurunan itu perlu diikuti dengan langkah menurunkan harga barangan keperluan pengguna bagi mengelakkan ia terus membebankan rakyat.
Md. Yusof Ali, 45, berkata, penurunan harga minyak ini membuktikan kerajaan memahami masalah yang dihadapi rakyat di negara ini.
Seorang pengguna, Yao Cheng Kim, 59, berkata, penurunan harga minyak itu boleh membantu rakyat tetapi ia sepatutnya diturunkan dengan kadar yang lebih rendah berbanding kadar sekarang.
‘‘Saya tidak setuju kalau kerajaan menurunkan harga minyak 15 sen ini kerana ia tidak banyak membantu rakyat,” katanya.
Seorang pemandu teksi, S. Subramaniam, 50, berkata, penurunan harga petrol dan diesel dapat mengurangkan beban yang dihadapi oleh pemandu teksi di bandar raya ini.
Di BUKIT MERTAJAM, seorang peniaga makanan, Fauzi Sazali, 35, memberitahu, beliau menyambut baik langkah kerajaan mengumumkan penurunan harga petrol walaupun jumlah hanya 15 sen.
‘‘Baguslah, saya menanti-nantikan pengumuman harga minyak diturunkan dan akhirnya setelah beberapa bulan terpaksa menanggung kos yang tinggi, harga minyak akhirnya turun.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment