18 August 2008

Undi pos penuh dengan keraguan

Hapuskan undi pos

Untuk kesekian kalinya isu undi pos dibangkitkan di Parlimen dan seperti mana biasa, jawapan yang diberikan oleh pihak kerajaan tidak membawa kepada apa-apa harapan untuk penyelesaiannya, sebaliknya menambah kusutkan suasana.

Tadi di Dewan Rakyat Menteri berkenaan memberikan jawapan yang tidak lebih dari melepaskan batuk di tangga sebagaimana laporannya:

Pengundian pos masih relevan dan terus diguna pakai dalam pilihan raya akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, mereka yang bertugas di luar negara, petugas pilihan raya, anggota tentera, Pasukan Gerakan Am (PGA), polis dan pasangan serta pelajar dan pasangan yang sedang menuntut sepenuh masa di luar negara dibenarkan membuat pengundian pos.

Sekiranya dihapuskan, ia boleh memudaratkan sistem keselamatan dan ketenteraman awam yang merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan negara dan menghalang hak asasi kakitangan serta pelajar di luar negara, katanya

Isunya di sini adalah ketelusan proses pengundian pos. Ianya telah mencetuskan keraguan sejak dahulu sehingga kini dan terus mencacatkan sistem demokrasi dan imej negara. Tidak ada siapa yang mahu menafikan hak semua warga Malaysia yang layak untuk mengundi, termasuklah tentera dan polis, tetapi apa yang dibangkitkan adalah ketelusan prosesnya.

Jika pihak kerajaan tidak mampu memperkenalkan satu sistem yang bebas dan telus yang boleh dipantau oleh semua pihak yang terlibat, maka kerana itu BERSIH mencadangkan agar dihapuskan sahaja proses pengundian pos ini. Sebaliknya kita benarkan semua mereka yang berkenaan mengundi sebagaimana orang awam biasa.

http://n32.blogspot.com

No comments:

Post a Comment