Akta DNA dibentang cubaan perangkap Anwar Ibrahim
KOTA BHARU, 20 Ogos (Hrkh) - Kerajaan Barisan Nasional (BN) kini terpaksa bergantung kepada parlimen bagi memerangkap Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan membentang Rang Undang-Undang DNA kelmarin.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, semua orang nampak rang undang-undang itu dibawa secara tergesa-gesa dengan mengambil kira dakwaan liwat membabitkan mantan Timbalan Perdana Menteri.
"Kenapa setelah tujuh tahun baru nak dibentangkan. Kenapa tak dibentangkan tahun hadapan biar pun akta tersebut sudah dirancang sejak 2001.
"Ini menjelaskan kerajaan yang ada ini begitu buruk sehingga terpaksa menggunakan parlimen untuk mengenakan musuh politik mereka," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Dua hari lalu Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar membentang Rang Undang-Undang DNA bagi mewajibkan suspek kes jenayah memberi sampel DNA kepada pihak berkuasa.
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menganggap pembentangan Rang Undang-Undang tersebut secara kebetulan dan meminta orang ramai tidak mempolitikkan akta terbabit.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, pada asasnya memang diakui DNA mustahak khususnya bagi menyelesaikan masalah jenayah untuk dijadikan bahan bukti.
Namun menurutnya mengapa ia dibentangkan dalam keadaan serta-merta.
"Oleh itu rakyat perlu memberi mandat kepada kerajaan baru bagi memastikan undang-undang negara tidak dipermainkan bagi kepentingan politik," ujarnya.
Beliau juga berkata, isu bersumpah bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan memperlihatkan undang-undang di negara ini menjadi semakin kalut.
Menurutnya selepas kes itu disebut di mahkamah sivil, pengadu pula mahu membawa kes tersebut ke mahkamah syariah.
Katanya, tidak sepadan dengan tindakan tersebut pengadu pula bersumpah sehingga ia mempamerkan wajah buruk negara pada pandangan umum.
"Masyarakat cukup keliru dengan tindakan itu. Ini secara tidak langsung menggambarkan terdapat tiga mahkamah bagi menyelesaikan kes liwat iaitu mahkamah sivil, mahkamah syariah dan mahkamah sumpah.
"Keadaan ini cukup bercelaru kerana kes itu sudah disebut di mahkamah sivil dan sekarang mahu diheretkan pula ke mahkamah syariah. Di mahkamah syariah penuduh dan yang kena tuduh boleh bersumpah jika sekiranya tiada bahan bukti atau saksi," katanya.
Katanya, apabila penuduh sudah bersumpah dia dengan sendirinya boleh dikenakan qazaf.
"Yang menjadi persoalannya adakah Saiful sanggup menerima hukuman tersebut. Untuk itu saya berharap kerajaan perlu memperhalusinya dengan baik dan jangan mempermainkan syariat Islam bagi tujuan politik," ujarnya.
Kata beliau sekiranya perkara itu tidak dipedulikan ia akan mengakibatkan kesan yang buruk, di samping imej Islam menjadi rosak.
Beliau juga menyifatkan tindakan bersumpah yang dilakukan Saiful lebih bercirikan kemelayuan dan tidak berlandaskan Islam.
Menurutnya prosiding sumpah tidak boleh dilakukan di tepi jalan, di rumah atau di mana sahaja kerana kes berkenaan masih dalam perbicaraan di mahkamah.
Kata beliau, dalam Islam tidak ada butiran di mana penuduh bersumpah, apa lagi ia dilakukan di luar mahkamah.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment