Arif nafi kempennya disabotaj, 20,000 undi dalam tangan
Datuk Arif Shah Omar Shah, yang bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Permatang Pauh, menafikan kempennya telah disabotaj oleh ahli-ahli Umno Bahagian Permatang Pauh.
Sebaliknya beliau menegaskan sudahpun "berupaya menghimpunkan lebih 20,000 undi"dan hanya memerlukan kira-kira 4,000 undi untuk menang dalam pilihan raya kecil ini.
"Saya berkeupayaan untuk menang, mungkin majoriti tidak besar, majoriti kecil," kata beliau yang memulakan kempen hari kelima sejak pukul 8 pagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Seberang Jaya berkata, beliau hanya menggunakan pendekatan sederhana untuk mendampingi pemilih-pemilih Permatang Pauh.
"Ini strategi saya, saya tidak disabotaj. Saya menggunakan cara kempen begini, saya tidak mahu kumpulan iringan yang besar dengan kereta-kereta iringan besar," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Wira Malaysia Lee Chong Wei di Dewan Badminton, Berapit, Bukit Mertajam.
Sejak kempen pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh bermula Sabtu lalu, Arif Shah, salah seorang yang bertanding jawatan Ketua Bahagian Permatang Pauh, hanya berkempen dalam kumpulan kecil lapan orang termasuk sebahagian daripada anggota keluarga iaitu isteri dan tiga orang anaknya.
Arif juga menafikan wujud sebarang masalah dengan ahli-ahli Umno dan ketua-ketua cawangan dan Ketua Umno Bahagian, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sehingga tidak banyak terlibat dalam program kempennya.
Sehubungan itu, kata beliau, oleh kerana kempen dalam pilihan raya kecil ini melibatkan ahli-ahli Umno dan BN dari luar Permatang Pauh maka pihaknya telah membahagi-bahagian tugas.
Kata Arif Shah, selain mahu mengamalkan pendekatan sederhana, beliau bimbang kumpulan yang besar tidak membolehkan ada interkasi berkesan dengan pengundi-pengundi.
Pilihan raya kecil 26 Ogos ini diadakan setelah wakil rakyatnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan bagi memberikan laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 58,449 pengundi dengan jumlah terbesar iaitu 66 peratus terdiri daripada Melayu, Cina (25 peratus), India (enam peratus) dan selebihnya kaum lain.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri dan Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai.
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment