20 August 2008

Ceti haram sepatutnya mudah ditangkap kerana iklan mereka di mana-mana

Along rupanya

SUBANG JAYA: Identiti seorang lelaki yang diserang dengan parang sehingga mati malam kelmarin, akhirnya terbongkar apabila siasatan polis mendapati mangsa seorang along yang cuba mengutip hutang daripada peminjamnya beberapa minit sebelum kejadian.

Sumber polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh penyerangnya yang mungkin tidak puas hati dengan urusan pembayaran hutang yang dituntut along berkenaan.

Menurutnya, sebelum kejadian mangsa yang berusia 43 tahun didapati membawa dua rakannya yang berusia 18 dan 20 tahun ke sebuah restoran mamak di Jalan 14/1L, USJ14 di sini, untuk berbincang berkaitan bayaran balik pinjaman.

“Maklumat awal menunjukkan, mangsa cuba menuntut bayaran wang sekitar RM2,000 daripada seorang lelaki. Bagaimanapun peminjam berkenaan dikatakan tidak mempunyai wang untuk membayar hutang berkenaan menyebabkan berlaku sedikit perselisihan faham.

“Peminjam yang dipercayai sudah mengatur rancangan awal dipercayai mengarahkan seorang lelaki menyerang mangsa dari arah belakang menggunakan parang,” katanya.

Menurutnya, lelaki tidak dikenali itu tiba-tiba muncul dan menetak mangsa dari belakang sebelum mangsa cuba menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun mangsa yang tercedera dikatakan melanggar sebuah kereta di kawasan meletak kenderaan tidak jauh dari restoran terbabit.

“Kesempatan itu digunakan penyerang menetak dan menikam mangsa bertubi-tubi sehingga mati. Siasatan mendapat mangsa mati akibat ditetak di belakang kepala, tangan dan belakang tubuhnya dengan senjata tajam,” katanya.

Menurutnya, dua rakan mangsa yang menemaninya sebelum kejadian bagaimanapun didapati ghaib dan tidak membantu mangsa ketika diserang.

“Seorang daripada mereka memberi alasan pergi ke stesen minyak berhampiran untuk membuang air kecil di tandas manakala seorang lagi lesap begitu sahaja.

“Alasan diberi itu turut menimbulkan curiga berikutan restoran mamak mempunyai tandas dan kedudukannya lebih hampir dengan lokasi kejadian,” katanya.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment