05 August 2008

Pergaduhan dalam mesyuarat Umno tanda parti itu sedang bermasalah

Gaduh, dipukul dan rasuah politik cemari mesyuarat Umno

PETALING JAYA: Umno yang mengadakan mesyuarat tahunan peringkat cawangan sejak dua minggu lalu dicemari dengan siri pergaduhan dan gejala politik wang di seluruh negara ketika pengurusan parti berusaha untuk mengawal budaya kurang sihat daripada berleluasa.

Insiden terbaru melibatkan Bahagian Kota Tinggi di Johor, Bahagian Gopeng di Ipoh dan negeri Selangor melibatkan kawasan bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno turut memberi perhatian berhubung perkembangan tersebut.

Di KOTA TINGGI, polis menerima lima laporan mengenai kejadian pergaduhan dalam mesyuarat agung beberapa cawangan Umno dalam Bahagian Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Osman Mohd Sebot yang mengesahkan tentang kejadian pergaduhan itu hari ini berkata, polis menyiasat satu daripada laporan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang juga Ketua Umno Bahagian itu dilaporkan oleh akhbar hari ini sebagai berkata, penjalanan mesyuarat cawangan kali ini adalah yang terburuk dan dibayangi dengan unsur-unsur "kemaruk kuasa."

Syed Hamid, yang telah mendapat 10 pencalonan, dijangka menghadapi saingan sengit dalam pemilihan kali ini daripada bekas naib ketua bahagian itu Daing A.Malik Daing A.Rahman yang telah mendapat 13 pencalonan setakat ini.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment