Ahli-ahli Umno di Dataran Merdeka esok lapor rasuah PM
Veteran Umno, Dato' Mazlan Harun akan membuat laporan kepada Biro Pencegah Rasuah (BPR) esok ke atas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berikutan tuduhan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (Bersara) Dato' Zahar Hashim bahawa Perdana Menteri terlibat dengan rasuah politik "of the highest order".
Dalam surat bertarikh 11hb Julai 2008, Zahar mendedahkan salahguna kuasa dan rasuah yang berlaku dalam proses pemilihan Umno oleh Abdullah, yang juga Presiden Umno.
Laporan itu akan dibuat pada pukul 9.30 pagi dan ahli-ahli Umno serta rakyat Malaysia yang mahu bersama-sama membuat laporan polis itu diminta berkumpul di Dataran Merdeka pada pukul 9 pagi esok.
Menurut blogger Umno, A Voice (anotherbrickinwall.blogspot.com), beberapa orang veteran Umno yang juga ahli-ahli Majlis Bekas Wakil-wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan turut serta memberi sokongan moral kepada Mazlan.
Dalam suratnya, Zahar berkata, penawaran jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri oleh Abdullah kepada timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak dan persetujuan Najib menerimanya dalam keadaan sekarang dan pada ketika ini merupakan rasuah politik "of the highest order," walau apa pun alasan yang diberi.
"Sudah pasti ia akan memberi kesan yang menguntungkan Abdullah, khususnya, dan sedikit sebanyak kepada Najib juga," katanya.
Terdahulu dari itu, kata Zahar, Abdullah telah terlibat dalam beberapa majlis ramah mesra dan penerangan dalam tempoh pemilihan seperti yang ditafsirkan dalam Tataetika Versi 2008.
"Ketua-ketua cawangan dari beberapa negeri diundang khas, disediakan penginapan di hotel dan diberikan buah tangan berupa sejadah atau kain pelikat serta duit belanja melalui jentera dan sumber kewangan kerajaan.
"Isu in telah menjadi buah mulut di kalangan ahli-ahli Umno," katanya.
Zahar memetik Tataetika Versi 2008 yang melarang calon yang ingin bertanding sebagai Ketua Bahagian atau Ahli Majlis Tertinggi menganjur jamuan atau memberi sedikit wang belanja kepada para perwakilan dan akan dikenakan tindakan disiplin jika melakukannya.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment