05 August 2008

Tiada keamanan selama ini di selatan Filipina | Buruk sangka terhadap agama lain punca perjanjian ditangguh

Autonomi MILF tergendala lagi

MANILA 4 Ogos – Mahkamah Agung Filipina hari ini mengeluarkan arahan untuk menghalang kerajaan daripada menandatangani perjanjian dengan kumpulan pemisah di selatan negara berikutan tentangan rakyat.

“Mahkamah mengeluarkan arahan penghentian sementara (TRO) ke atas responden daripada menandatangan memorandum perjanjian,” kata jurucakap Midas Marquez kepada pemberita.

Arahan mahkamah ini diambil sebagai maklum balas kepada petisyen yang difailkan oleh pegawai di selatan Filipina bagi menentang perjanjian yang akan ditandatangani antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Malaysia esok.

Di bawah perjanjian tersebut, kawasan lebih luas akan diserahkan kepada penduduk Islam Mindanao dan memberikan lebih banyak kuasa kepada mereka untuk menubuhkan sistem pendidikan, kehakiman, perkhidmatan awam dan kawalan ke atas sumber mineral dan tenaga.

Erico Fabian, anggota Kongres yang memfailkan petisyen tersebut menyifatkan arahan mahkamah itu sebagai berita baik kepada penduduk di selatan Filipina yang menentang perjanjian berkenaan.

Arahan mahkamah itu dikeluarkan beberapa jam selepas kira-kira 15,000 orang kebanyakannya bukan Islam mengadakan demonstrasi menentang perjanjian tersebut di jalan-jalan raya di bandar Zamboanga.

“Jangan bina Tembok Berlin di antara penduduk Mindanao.

“Kami juga mahu keamanan. Kami tidak mahu sesebuah kawasan yang wujud berdasarkan agama, kawasan yang akan mengasingkan kami.

“Kristian dan Muslim telah hidup dengan aman dan harmoni di bandar ini,” kata Datuk Bandar Zamboanga, Celso Lobregat dalam ucapan kepada orang ramai. – AFP

No comments:

Post a Comment