Itu Hak Mereka Jika Mahu Saman, Kata Polis
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Bakri Zinin berkata polis tidak boleh menghalang bapa Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil untuk menfailkan saman terhadap polis jika beliau merasakan polis bersalah.
"Jika dia saman polis, kita akan lihat perkara itu. Kita sebahagian dari masyarakat kadang kala membuat silap juga, jadi terpulang kepadanya untuk mengambil apa-apa tindakan," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas laporan yang menyatakan Jazimin akan menfailkan saman kepada polis dan kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta esok.
Laporan itu menyebut, Jazimin ingin menuntut pampasan dan permohonan maaf dan penarikan balik laporan akhbar yang membayangkan keluarga itu berurusan dengan along dan mereka menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan terhadap pengedaran gambar bedah siasat kanak-kanak itu.
Bakri berkata polis tidak boleh meminta keluarga Nurin menarik balik saman tersebut (sekiranya difailkan) namun keluarga tersebut harus sedar tanggungjawab mereka dan tidak harus menyalahkan polis semata-mata.
Ketika ditanya tentang kekecewaan keluarga Jazimin berikutan kes tersebut yang belum lagi selesai, Bakri menegaskan polis tidak pernah menutup kes pembunuhan tersebut dan masih mengumpul bukti-bukti bagi mengesan penjenayah terbabit.
"Kita tidak perlu maklumkan setiap tindakan yang diambil kepada keluarga mangsa setiap hari, kerana polis ada strategi sendiri bagi menyelesaikan kes ini," katanya.
Beliau berkata polis tidak menyiasat sesuatu kes berdasarkan emosi tetapi mengikut keperluan, malah beliau sendiri sentiasa memantau perkembangan kes tersebut bagi memastikan setiap bukti yang diperolehi dapat membawa kepada penahanan penjenayah terbabit.
"Saya sendiri tidak pernah terlepas pandang dalam setiap bukti dan perkembangan kes ini kerana kita tahu kes ini berprofil tinggi dan menarik perhatian umum," katanya.
Bakri bagaimanapun berkata sesuatu kes itu tidak akan berjaya diselesaikan tanpa bantuan dan maklumat daripada orang ramai.
Hari ini genap setahun pemergian Allahyarham Nurin yang dibunuh dengan kejam sehingga mendapat perhatian dan simpati daripada seluruh lapisan masyarakat di negara ini.
Mayat kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu yang disumbat di dalam beg pakaian sukan ditemui di luar sebuah premis perniagaan di PJS1 Petaling Jaya.
Kanak-kanak itu diculik dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 1 Wangsa Maju selepas pergi ke pasar malam berhampiran.
Sementara itu, Jazimin yang ditemui di rumahnya di sini berkata tindakannya menfailkan saman bukan bermotifkan politik berikutan bahang pilihan raya kecil di Parlimen Permatang Pauh yang hangat dikatakan sekarang.
"Ini bukan kerana politik, ini hal keluarga saya. Ia (saman) bertujuan membetulkan keadaan dan membersihkan nama di atas fitnah yang dilemparkan orang ramai yang menuduh saya terlibat dengan along," katanya.
Beliau berkata tindakannya menfailkan saman itu disokong oleh keluarga, saudara mara selain mendengar nasihat dan pandangan dari beberapa pihak.
"Kalau saya diam, orang kata semua tuduhan itu betul, jadi untuk menafikan semua itu saya harus melakukan sesuatu (saman)," katanya.
Apabila ditanya mengapa baru sekarang beliau mengambil tindakan tersebut, Jazimin berkata, tempoh memohon maaf untuk orang-orang yang terlibat menjatuhkan namanya sudah tamat dan tiada pihakpun yang tampil dan mengakui perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.
"Selama ini saya diam apabila ada pihak kaitkan saya dengan along, dan cuai jaga anak, apabila saya nafikan dalam surat khabar, tiadapun orang yang percaya.
"Sekarang saya hendak orang ramai buka mata, fitnah mereka tidak benar sama sekali, hanya dengan jalan ini (saman) saya boleh bersihkan nama," katanya.
Beliau yang kini bekerja sendiri dan isterinya Norazian Bistaman mengambil upah mengurut orang bersalin berkata orang ramai tidak sepatutnya menyalahkan ibu bapa sebaliknya perlu menunggu sehingga siasatan selesai.
Semasa ditanya tentang jumlah saman yang dituntut, Jazimin berkata wang bukan segalanya apa yang penting maruah yang tercalar dapat dibersihkan.
Jazimin dan peguamnya Akbardin Abdul Kaber akan menfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini esok pada pukul 10.30 pagi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment