20 August 2008

Jangan politikkan akta DNA, Jangan politikkan sumpah Saiful

Jangan Politikkan Akta DNA, Kata Abdullah

MELAKA, 19 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Sambil menolak tanggapan kononnya rang undang-undang itu ada kaitan dengan kes meliwat yang dihadapi penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri berkata hal yang berkaitan dengan DNA dan akta itu sudah lama hendak dibawa oleh kerajaan ke Parlimen.

Kalaupun DNA menjadi satu isu dalam kes berkenaan, itu satu kebetulan, katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Bumi Hijau peringkat negeri Melaka oleh isteri beliau Datin Seri Jeanne Abdullah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini, Selasa.

"Akta ini baik untuk kita dan untuk masa depan kerana ia akan menjadi satu pendekatan penting dalam usaha pihak berkuasa untuk meningkatkan keberkesanan tindakan membasmi jenayah," katanya.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya penggubalan akta itu, yang mewajibkan suspek kes jenayah memberi sampel DNA mereka kepada pihak berkuasa, bermotifkan politik.

Pada 7 Ogos lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di sini pada 26 Jun lepas.

Semasa ditahan polis sebelum itu, bekas timbalan perdana menteri itu enggan membenarkan sampel DNA beliau diambil dengan alasan ianya boleh dimanupulasi.

Abdullah berkata bukan menjadi niat dan tujuan kerajaan mewujudkan akta berkenaan kerana kes Anwar itu.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, undang-undang itu digubal bagi membantu penyelidikan yang mungkin memerlukan DNA untuk membuktikan sesuatu.

Ditanya adakah kerajaan bercadang mewajibkan data DNA diambil semasa bayi baru lahir, Abdullah berkata itu akan diputuskan semasa rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.

"Kalau ada apa-apa kekurangan mengenai akta itu yang perlu ditambah lagi atau perlu dibuat pindaan, maka pindaan itu dibenarkan walaupun semasa perbahasan nanti," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat Gerakan Datuk Dr Toh Kin Woon keluar daripada parti itu semalam, Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata Toh mungkin tidak sabar dengan keadaan yang dihadapi oleh parti Gerakan selepas pilihan raya umum lepas.

"Agaknyalah, saya pun tak tahu. Kalau dia tak mahu jadi ahli lagi takkan kita nak paksa.

"Banyak lagi orang lain yang hendak masuk menjadi anggota parti itu," katanya.

Toh, 62, semalam mengumumkan keluar daripada Gerakan berkuatkuasa serta merta bagi memberi tumpuan kepada kerja amal.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment