20 August 2008

Bekas KP Imigresen didakwa rasuah RM60,000

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan setuju menerima suapan wang tunai RM60,000 bagi mempercepatkan kelulusan permohonan visa 4,337 pekerja Bangladesh untuk masuk ke negara ini.

Wahid, 56, didakwa menerima rasuah tersebut daripada ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian di kediamannya di No. 3167, Jalan Lembah Ledang persimpangan Jalan Duta di sini kira-kira pukul 10.15 malam, 10 Julai lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S. M. Komathy Suppiah.

Mengikut pertuduhan, wang suapan itu merupakan sebahagian daripada pembayaran upah untuk mempercepatkan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) bagi warga Bangladesh terbabit.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Wahid yang memakai sut warna hitam lengkap bertali leher kelihatan tenang sepanjang kes itu disebut di mahkamah.

Turut hadir, isterinya, Datin Norizam Abd. Aziz dan ahli keluarga terdekat.

Beliau tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.20 pagi selepas diarah melaporkan diri di pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya pukul 8 pagi ini.

Komathy membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin yang perlu membayar RM30,000 sahaja sebagai sebahagian daripada sekuriti.

Jumlah RM20,000 lagi hanya perlu dibayar sekiranya tertuduh menghilangkan diri.

Beliau turut memerintahkan supaya tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya sebagai syarat jaminan.

Perbicaraan kes itu ditetapkan oleh Komathy bermula pada 18 hingga 22 Mei dan 8 hingga 12 Jun 2009 setelah pendakwaan menyatakan mempunyai 25 orang saksi.

Hakim tersebut turut menetapkan sebutan pada 9 Oktober ini bagi memastikan pihak pembelaan memperoleh dokumen yang diperlukan.

Wahid yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen sejak 1 Oktober 2006, sepatutnya didakwa di mahkamah pada 8 Ogos lalu tetapi ditangguhkan selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengadu sakit dada.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais daripada BPR menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili tertuduh pula menyatakan jumlah tersebut adalah terlalu tinggi dan memohon supaya tertuduh dibebaskan dengan bon jaminan peribadi.

Menurutnya, tertuduh telah bertugas selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam, mempunyai seorang isteri dan dua orang anak yang masih bersekolah di tingkatan satu dan tingkatan tiga.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment