Polis akan hentikan ceramah tanpa permit
BUKIT MERTAJAM 18 Ogos - Polis akan bertindak tegas menghentikan ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak mendapat permit polis mulai hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub berkata, ceramah tanpa permit boleh diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27 (5) Akta polis 1967 yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau berkata, pihaknya dukacita kerana mendapati semua ceramah PKR sepanjang kempen dua hari pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh langsung tidak mendapat permit polis.
''PKR tidak sepatutnya berbuat demikian kerana parti itu dan Barisan Nasional (BN) telah pun berjanji untuk mematuhi peraturan demi keselamatan kempen,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata Ayub, setakat ini pihaknya hanya menerima tujuh permohonan daripada BN untuk penganjuran ceramah namun tiada permohonan diterima daripada PKR.
Menurut beliau, pihaknya tidak pernah berat sebelah dalam proses permohonan permit malah memudahkannya dengan menempatkan borang di setiap balai polis.
Katanya, borang permit hanya perlu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk kelulusan Ketua Polis Daerah dalam tempoh 24 jam selagi ceramah itu tidak melanggar peraturan.
Ditanya mengapa polis tidak mengambil tindakan untuk menyuraikan ceramah tanpa permit sebelum ini, beliau berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada parti berkenaan mengemukakan permohonan mendapatkan permit.
''Namun selepas dua hari tempoh penamaan calon, mereka tidak juga mengemukakan permohonan mendapatkan permit, maka polis terpaksa mengambil tindakan tegas mulai hari ini,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis telah menerima 15 laporan sejak penamaan calon pada 16 Ogos lalu melibatkan sembilan kes jenayah dan enam ceramah tanpa permit.
Jelasnya, semalam sahaja, tiga laporan polis telah diterima dengan kes pertama dilaporkan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh melibatkan dakwaan gangguan dan ugutan yang dilakukan oleh penyokong PKR berhampiran Institut Perguruan Tuanku Bainun.
Kes kedua pula katanya, melibatkan seorang suri rumah berusia 65 tahun yang dimaki hamun dan dibaling batang besi oleh penyokong parti berkenaan manakala kes ketiga laporan kekerasan dan kerosakan yang dilakukan terhadap kereta seorang peniaga.
''Setakat ini kita telah mengenal pasti lebih 30 individu yang dipercayai mempunyai maklumat bagi membantu siasatan berhubung beberapa siri keganasan dan peras ugut yang berlaku setakat semalam.
''Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan semua pihak supaya memelihara adab sopan ketika berkempen kerana mereka yang melakukan perbuatan memaki hamun, menunjukkan isyarat lucah atau berkelakuan lucah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.
Di bawah seksyen tersebut, ujar beliau, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment