Akta DNA ke Parlimen - Wajibkan suspek kes jenayah beri sampel kepada pihak berkuasa
KUALA LUMPUR 18 Ogos – Rang Undang-Undang Indentifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 yang bakal menjadi peraturan yang digunakan bagi mewajibkan suspek kes jenayah memberikan sampel DNA mereka kepada pihak berkuasa dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang membentangkan rang-undang-undang itu berkata, kerajaan sudah merancang untuk mewujudkan akta tersebut sejak tahun 2001 bagi memudahkan proses pengecaman penjenayah.
Rang Undang-Undang Indentifikasi DNA, jika diluluskan, akan menyediakan hukuman yang boleh dikenakan terhadap mereka yang enggan memberi, membenar atau menghalang sampel DNA bukan intim (non-intimate) seperti kuku, calitan daripada bahagian bukan sulit badan dan air liur diambil untuk diuji dalam sesuatu kes jenayah yang disiasat.
Bagi sampel DNA intim (intimate sample) pula, air mani, darah, cecair badan atau tisu, urin, bulu kemaluan dan calitan bahagian sulit individu diwajibkan diambil daripada mereka yang menjadi suspek kes jenayah.
Syed Hamid berkata, dakwaan sesetengah pihak kononnya pewujudan undang-undang itu bermotifkan politik adalah tidak benar kerana ia tiada kena-mengena dengan kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tidak masuk akal untuk mengatakan akta ini diwujudkan kerana kes tersebut,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Terdahulu beliau membentangkan Rang Undang-Undang Indentifikasi DNA 2008 bagi bacaan kali pertama untuk dibahaskan dan kemudian diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Apabila undang-undang itu menjadi akta nanti, Syed Hamid memberitahu, penjenayah yang menjadi suspek kes jenayah akan diwajibkan memberi sampel DNA mereka bagi memudahkan pihak berkuasa mengumpul bahan bukti di peringkat siasatan.
Katanya, undang-undang tersebut tidak dirangka semata-mata kerana individu tertentu.
“Adalah penting DNA seseorang yang didakwa di mahkamah atau ditahan atas kesalahan tertentu direkodkan.
“Akta itu nanti akan meliputi pengambilan DNA daripada semua tertuduh atau suspek bagi semua jenis jenayah dalam Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Beliau berkata, di Malaysia pada masa ini tidak wujud akta atau peraturan spesifik bagi membenarkan pihak berkuasa mendapatkan DNA daripada tertuduh dan suspek kes jenayah.
“Apa yang kita lakukan ini adalah untuk memperkenalkan undang-undang bagi tujuan itu. Saya tidak tahu kenapa ada pihak yang berkata ada motif tertentu untuk kita mewujudkan akta ini.
“Jika ada kes mahkamah dan orang itu tidak bersalah, kenapa kita perlu risau tentang akta ini,” katanya.
Selain mewajibkan pengambilan sampel DNA, rang undang-undang itu juga bakal membangunkan Bank Data Forensik DNA, analisis forensik DNA, penggunaan profil DNA dan sebarang maklumat berkaitan dengan DNA yang diperoleh dalam proses pengumpulan bahan bukti.
Bank Data DNA, kata Syed Hamid, dapat membantu pihak polis menjalankan siasatan kes-kes jenayah yang melibatkan pembunuhan kejam dan identiti mangsa sukar dikenal pasti.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment