Saya mungkin tiada peluang - Mukhriz
JITRA 2 Ogos - Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, gejala politik wang dan penyelewengan yang didakwanya berlaku dalam pemilihan peringkat cawangan Pemuda mampu menutup peluangnya untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan itu pada pemilihan Disember ini.
Malah beliau yang sebelum ini optimis mengenai peluangnya bertanding jawatan tersebut, tidak lagi yakin untuk mendapat jumlah pencalonan mencukupi ekoran amalan tidak sihat tersebut yang didakwanya berlaku di seluruh negara.
Berdasarkan keadaan itu, jelasnya, hanya `keajaiban’ yang membolehkan beliau mendapat jumlah pencalonan mencukupi untuk bertanding memandangkan kubu-kubu kuatnya turut goyang akibat gejala berkenaan.
''Dalam keadaan gejala rasuah politik yang sedang berleluasa dalam negara kita sekarang ini, keyakinan saya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda terhakis.
''Kalau amalan ini dibiarkan berlaku pada masa ini, saya tidak yakin akan mendapat cukup pencalonan,'' katanya selepas bermesyuarat dengan ahli-ahli UMNO Cawangan Jitra di sini hari ini.
Semalam, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun mendakwa terdapat penyelewengan dalam pemilihan di peringkat cawangan Pemuda UMNO di seluruh negara.
-Utusan
No comments:
Post a Comment