02 August 2008

Pemandu teksi membantu menangkap penjenayah

Wira bantu polis

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi tidak menyangka tindakan beraninya membantu polis bergelut dengan tiga penjenayah sekali gus, berjaya menyelesaikan puluhan kes penipuan dan pukau oleh warga asing Timur Tengah sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian jam 4.15 petang semalam, pemandu teksi berkenaan, Mahzam Mohd Said, 35, turut ditumbuk beberapa kali oleh suspek yang berusaha melarikan diri menaiki kereta Proton Waja berhampiran taman Tasik Perdana.

Mahzam yang ditemui semalam berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menurunkan penumpangnya di kawasan berkenaan sebelum tiba-tiba mendengar suara jeritan seorang anggota polis yang meminta pertolongan.

“Kejadian itu berlaku di depan mata dan saya sempat melihat tindakan anggota polis itu yang memintas kereta suspek sebelum cuba menahan mereka.

“Anggota polis itu kemudian dilihat kelam-kabut untuk memberkas tiga penjenayah terbabit yang ketika itu cuba untuk melarikan diri. Dalam masa sama anggota polis itu menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai bagi memastikan suspek dapat diberkas,” katanya.

Menurutnya, dia yang menyedari anggota polis itu dalam kesusahan kemudian segera keluar dari teksi sebelum berlari ke arah lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 meter dari tempat dia menurunkan penumpang.

“Sebaik sampai ke lokasi kejadian, saya cuba untuk menangkap salah seorang penjenayah sebelum berlaku pergelutan.

“Usaha saya untuk menangkapnya cukup sukar kerana perbezaan fizikalnya yang jauh lebih besar menyebabkan dia mudah untuk mengalahkan saya. Malah suspek turut berjaya melepaskan cengkaman saya setiap kali saya cuba untuk menundukkannya,” katanya.

Menurutnya, lelaki Arab yang berusia 40-an itu meronta dengan kuat menyebabkan cengkaman saya pada bahunya terlepas.

“Malah dia bertindak ganas menyiku saya bagi mengelakkan diri daripada ditahan,” katanya.

Berang dengan tindakan itu, Mahzam melepaskan satu tumbukan ke muka penjenayah berkenaan tetapi ianya tidak memberikan sebarang kesan dan suspek terus meronta-ronta.

“Malah tiga orang awam yang turut membantu memegang suspek turut ditolak. Tenaganya cukup kuat sekali gus menyukarkan kami menangkap penjenayah itu,” katanya.

Mahzam berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri dengan memasuki kereta Proton Waja berwarna perak terbabit sebelum berjaya memasukkan sebelah badannya ke dalam kenderaan.

Bimbang suspek berjaya melepaskan diri, Mahzam bertindak menendang belakang suspek dan berusaha menarik suspek keluar. Bagaimanapun salah seorang rakan penjenayah sempat memecut kereta melarikan diri.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment