Ezam yakin Anwar menang, Umno Permatang Pauh tidak mahu Ezam
Dalam pada itu, Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata: “Kami mahu anak Permatang Pauh menjadi calon.”
Kata beliau, bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Noor yang kini menyertai Umno, belum dapat diterima sepenuhnya oleh masyarakat di situ.
Ekoran pengumuman itu, terdapat cadangan supaya Ezam bertanding di situ sebagai calon Barisan Nasional berdasarkan kepada pengetahuan beliau mengenai Anwar.
“Anwar sudah bertapak di Permatang Pauh sejak 1982 dan agak susah untuk memperkenalkan calon
baru yang bukan anak tempatan dalam masa yang singkat kerana masyarakat di sini begitu mementingkan faktor orang yang mereka kenal atau tahu,” kata Abdul Jalil dipetik Bernama di Butterworth.
Beliau ditanya mengenai orang yang bakal dipilih oleh Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Parlimen Pauh tidak lama lagi.
Beliau berkata, calon BN itu mestilah orang yang boleh berkhidmat kepada masyarakat dan mengambil berat kesusahan mereka.
Mengenai persiapan, Abdul Jalil berkata bahawa sebaik saja selesai pilihan raya umum 8 Mac lepas,
Umno Bahagian Permatang Pauh sebenar sudahpun mengerakkan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya kecil di situ kerana menjangkakan Wan Azizah memang akan mengosongkan kerusi itu untuk Anwar.
“Kita tidak terkejut dengan pengumuman Dr. Wan Azizah itu kerana semasa berkempen pada pilihan raya umum dulu beliau sudah memberitahu mengenai perkara ini. Jadi, persiapan kita memang telah bermula awal lagi,” katanya.
Abdul Jalil berkata, Umno bahagian itu telah mengadakan majlis penerangan di semua 92 cawangannya sejak dua minggu selepas pilihan raya umum selesai bagi menghadapi kemungkinan ini.
“Kursus pilihan raya juga telah diadakan untuk pergerakan Puteri dan Wanita sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian. Insya-Allah, persediaan kita sudah teratur,” katanya.
Beliau berkata, dengan bantuan dan kerjasama parti komponen BN yang lain, “pertembungan” yang dianggap paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Permatang Pauh nanti dapat ditempuhi dengan lancar.
Abdul Jalil berkata, sejak kawasan itu diwakili Dr. Wan Azizah, penduduk Permatang Pauh “letih” menghadapi karenah pemimpin parti itu yang hanya memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan menyekat kemajuan dan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Cukuplah kesusahan yang telah kita lalui. Hanya kerana hendak memperjuangkan Anwar seorang, orang lain terpaksa mendapat susah.
“Buktinya, penat lelah menghadapi pilihan raya umum belumpun reda, kita terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya. Semua orang akan mendapat susah kerana dia. Ini bukan perjuangan untuk rakyat tetapi perjuangan peribadi,” katanya.
Walaupun mengakui pertandingan kali ini memang sukar, Abdul Jalil berkata, Umno yakin dapat memenangi hati rakyat menerusi usaha dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin parti itu untuk membela nasib rakyat.
Mstar
Calon tempatan lebih sesuai - Mohd. Ali
MELAKA 2 Ogos - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berpendapat, calon tempatan adalah lebih sesuai diletakkan bertanding menentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh pada pilihan raya kecil akan datang.
Menurut beliau, ketika ini sudah terdapat beberapa nama calon yang difikirkan sesuai untuk memberi tentangan kepada Anwar dalam pilihan raya kecil itu.
``Anwar bakal ditentang hebat oleh calon Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh, malah saya lihat sudah ada dua atau tiga calon BN yang berpotensi untuk menewaskan Anwar pada pilihan raya itu,'' katanya selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Melaka 2008 di sini hari ini.
Mohd. Ali mengulas mengenai kesediaan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd. Nor menjadi calon BN bagi menentang Anwar di Permatang Pauh.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment