Rang undang-undang DNA tiada kaitan dengan Permatang Pauh
BUKIT MERTAJAM 18 Ogos — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini membidas pembangkang yang mengaitkan pembentangan Rang Undang-Undang Asid Deoksiribonukleik (DNA) di Parlimen mempunyai kaitan dengan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Beliau turut menafikan dakwaan mereka bahawa akta itu mempunyai konspirasi politik.
“Apa-apa yang kita buatpun dia (pembangkang) dakwa ada kaitan dengan pilihan raya dan ada konspirasi politik itu. Itu adalah perkara biasa tetapi sebenarnya akta ini dah lama disediakan cuma belum dibentangkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Sama Gagah, di sini.
Rang Undang-undang DNA itu dibentang untuk bacaan kali pertama hari ini dan dijangka diluluskan pada sesi Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.
Najib berkata demikian ketika mengulas tindakan pembangkang yang mendakwa pembentangan rang undang-undang itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.
Pada pilihan raya itu, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
Pilihan raya itu diadakan berikutan peletakan jawatan Anggota Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan itu.
Mengenai harga minyak, Najib berharap rakyat akan mendapat berita baik pada pembentangan bajet 2009 ini berikutan harga minyak di pasaran dunia juga sudah turun. “Kita telah mengumumkan pelarasan itu secara bulanan, jadi tunggulah. Kita tunggu dulu dia punya kenyataan,” katanya.— BERNAMA
No comments:
Post a Comment