29 July 2008

Tiga pengebom berani mati wanita gegar kota Baghdad

50 orang terkorban dalam letupan di Iraq

Serangan berani mati oleh tiga pengebom wanita di sini hari ini telah meragut 28 nyawa dan menyebabkan 92 yang lain cedera, ketika puak Syiah membanjiri ibu negara Iraq ini untuk menghadiri sambutan memperingati salah seorang imam Syiah.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam insiden letupan di Baghdad itu.

Serangan berlaku di daerah Karrada, tengah Baghdad ketika penganut Syiah berjalan kaki menuju makam Kadhimiyah di utara ibu negara Iraq ini.

“Letupan hari ini akan meningkatkan lagi keazaman kami untuk menunaikan kunjungan kali ini dan menghalang keganasan,” kata salah seorang daripada penganut Syiah, Taher Abd-Noor.

Letupan yang dilihat sudah dirancang lebih awal ini turut menggoncangkan keadaan tenang selama beberapa bulan di Baghdad.

Kira-kira sejuta penganut Syiah dijangka menyertai sambutan memperingati Imam Mussa Kadhim iaitu salah seorang daripada 12 imam Syiah.

Sementara itu, satu serangan berasingan berlaku di bandar Kirkuk, utara Iraq yang mengorbankan 22 orang dan mencederakan 112 yang lain dalam demonstrasi menentang undang-undang wilayah Iraq.

Serangan tersebut menunjukkan kerapuhan keselamatan di Iraq, walaupun kadar keganasan telah menurun sejak empat tahun lalu. – Reuters

No comments:

Post a Comment