29 July 2008

Kerajaan BN gagal wujudkan perpaduan kaum melalui bahasa - Ungku Aziz

Ubah pendidikan bahasa Melayu

Profesor Diraja Ungku Aziz mencadangkan kerajaan melakukan beberapa perubahan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.

Beliau berkata perubahannya perlu merangkumi semua peringkat persekolahan termasuk di sekolah rendah hingga institut pengajian tinggi.

"Bahasa Melayu penting untuk mewujudkan perpaduan sementara bahasa Inggeris boleh digunakan untuk pembangunan ekonomi negara.

"Pada masa kini, usaha untuk mewujudkan perpaduan kaum melalui bahasa dilihat sebagai tidak begitu berjaya kerana berdasarkan kepada pemerhatian, kebanyakan pelajar di institusi pengajian tinggi masih belum sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu.

"Sistem pembelajaran adalah penting untuk wujudkan perpaduan negara.

"Saya rasa perpaduan negara melalui sistem ini masih tidak begitu berjaya," katanya ketika menyampaikan ucap utama pada Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi Bersama Kementerian Pelajaran di Universiti Putra Malaysia hari ini.

Menurut Bernama, Ungku Aziz berkata kementerian berkaitan perlu menyediakan satu agihan sistem pelajaran supaya pelajar dapat mempelajari bahasa Melayu bermula daripada peringkat yang mudah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

"Maknanya pelajar boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik, tidak rojak dan tidak telo. Kalau kita ada sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu yang betul, kita boleh lahirkan pelajar yang baik serta mewujudkan perpaduan kaum," katanya.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment