Susulan liwat Anwar, polis nafi tahan doktor bantu siasatan
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini menafikan polis menahan seorang doktor bagi membantu siasatan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata beliau, dakwaan seperti yang dilaporkan oleh portal Malaysia Today adalah tidak berasas kerana doktor lelaki itu hanya dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Portal itu juga menyiarkan salinan laporan pemeriksaan doktor sebuah pusat perubahan swasta yang mendakwa tiada kesan liwat.
"Laporan itu adalah tidak berasas. Kita hanya mengambil keterangan mengikut prosedur biasa, tidak timbul isu tahantahan seperti yang dilaporkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, doktor lelaki tersebut antara 18 saksi yang sudah dipanggil untuk direkodkan keterangan sebelum ini.
Ismail bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan portal Malaysiakini yang mendakwa laporan perubatan pemeriksaan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dikeluarkan oleh sebuah hospital swasta tidak menunjukkan kesan liwat.
"Saya tidak mahu komen kerana siasatan kes itu masih berjalan," katanya.
Pada 28 Jun lepas, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, bekas pembantu Anwar membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu .
Pada 16 Julai lepas, Anwar ditahan selama kurang 24 jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes tersebut tetapi dibebaskan dengan jaminan polis keesokkannya.
Ketika ditahan Anwar turut di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan namun beliau enggan membenarkan darahnya diambil bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Sementara itu, Majlis Peguam hari ini meminta penyiasatan terperinci dilakukan terhadap kes itu.
"Majlis menggesa mereka yang menjalankan penyiasatan kes itu melakukannya dengan betul dan profesional," kata Presidenya, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam kenyataan hari ini.
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment