04 July 2008

Teori konspirasi sudah mula ada tanda berikutan tidak sampai 24, akuan sumpah ditukar

PKR teruskan laporan polis terhadap Najib

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lupur berhubung akuan bersumpah P. Balasubramaniam yang mengaitkan Najib dengan Altantuya Shariibuu.

Shamsul berkata, beliau tetap meneruskan laporan polis terhadap Najib walaupun Subramaniam menarik balik seluruh isi kandungan akuan bersumpah itu hari ini kerana katanya, penarikbalikan akuan bersumpah yang kurang daripada 24 jam itu sebenarnya membangkitkan lebih banyak tanda tanya daripada jawapan berhubung kesahihan penafian Najib semalam.

"Penarikbalikan akuan bersumpah yang dikatakan berlaku hari ini dalam masa kurang 24 jam telah membangkitkan lebih banyak tanda tanya daripada jawapan mengenai kesahihan penafian (Datuk Seri) Najib Razak bahawa beliau tidak kenal Altantuya.

"Keengganan isteri Najib, (Datin Seri) Rosmah Mansor untuk mengheret Raja Petra Kamaruddin ke mahkamah atas akuan bersumpah Raja Petra mengenai penglibatan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya juga mewujudkan spekulasi yang sangat serius, apakah benar yang beliau sememangnya terlibat," katanya kepada media selepas selesai membuat laporan polis kira-kira 30 minit bermula jam 3 petang tadi.

Menurutnya, laporan polis yang sama turut dibuat oleh Ketua Angkatan Muda setiap negeri mengikut daerah masing-masing.

Beliau berkata, pengakuan Najib semalam yang mendakwa beliau turut bertemu Saiful Bukhari Azlan beberapa hari sebelum laporan polis dibuat Saiful juga membenarkan dakwaan Angkatan Muda sebelum ini bahawa wujud konspirasi untuk menghancurkan karier politik Anwar.

Ketika ditanya sama ada akuan bersumpah Balasubramaniam masih boleh dijadikan bukti memandangkan beliau telah menarik balik seluruh kandungannya, Shamsul yang juga seorang peguam berkata, dalam konteks undang-undang, akuan bersumpah itu tetap sah.

"Dalam konteks undang-undang, bila sudah wujud satu pengakuan bersumpah dan keterangan telah melalui proses yang sempurna, dibuat sendiri oleh Balasubramaniam setelah mendapat nasihat peguam dan ditandatangani di depan Pesuruhjaya Sumpah yang berdaftar, ia adalah sah.

"Justeru, jika wujud satu lagi pengakuan bersumpah yang mendakwa sebaliknya, pihak polis harus melakukan siasatan sepenuhnya kerana ini bukan kes sivil, ini kes jenayah yang melibatkan nyawa orang lain," katanya.

Shamsul berkata, beliau percaya penarikbalikan akuan bersumpah yang dilakukan Subramaniam itu dilakukan atas dasar paksaan.

"Saya percaya dan diberitahu, Subramaniam dipaksa melakukannya kerana tuduhan ini melibatkan orang nombor dua negara (Najib).

"Semalam masa kamu lihat dia (Subramaniam), adakah dia dipaksa? Tidak, dia menjawab semua soalan tanpa dipaksa," katanya.

Shamsul berkata, beliau turut diberi jaminan oleh pihak polis bahawa siasatan terhadap kes ini akan dimulakan dan akan disiasat oleh pasukan polis dari Damansara.

Ketika ditanya tentang harapan beliau terhadap laporan kali ini memandangkan tiada tindakan susulan terhadap laporan-laporan yang dibuat sebelum ini, Shamsul berkata, beliau akan memastikan pihak polis akan memberi maklum balas kepadanya dalam masa 14 hari.

"Sebenarnya ada peruntukan, pihak polis perlu memberi maklum balas dalam masa 14 hari kepada pengadu namun ia jarang digunakan.

"Justeru, dalam kes ini, jika peruntukan mencukupi dan saya masih tidak dapat maklumbalas dalam masa 14 hari, saya bercadang untuk memfailkan permohonan di mahkamah untuk mendesak pihak polis melakukan siasatan segera," katanya.

Hari ini, P.Balasubramaniam menarik balik seluruh kandungan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu kerana mendakwa seluruh yang dinyatakan dalam akuan bersumpah bertarikh 1 Julai itu tidak benar.

Semalam, Subramaniam bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di pejabat PKR, mendedahkan mengenai hubungan langsung Timbalan Perdana Menteri bersama wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh pada Oktober 2006.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment