Samun anggota polis, perompak cedera ditembak
SUBANG JAYA 4 Julai – Dua lelaki yang menyamun pelanggan sebuah kedai gunting rambut di Jalan SP 2/2, Serdang Perdana dekat sini, mungkin menyangka mereka tidak akan menghadapi masalah dalam melakukan rompakan itu hari ini tetapi mereka telah tersilap langkah.
Salah seorang pelanggan yang mereka samun itu adalah anggota polis yang secara kebetulan sedang menunggu giliran untuk menggunting rambut dan akibatnya salah seorang daripada mereka cedera akibat terkena tembakan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.45 petang dan kedua-dua penjenayah terbabit bersenjatakan parang panjang.
Katanya, suspek yang menyerbu masuk ke premis itu terus menuju ke arah anggota polis berkenaan sebelum mengacukan parang dan memintanya menyerahkan telefon bimbit dan dompet.
``Suspek kemudiannya bertindak merampas telefon bimbit dan dompet milik anggota polis yang mengandungi wang RM400 dan pada masa yang sama, rakan suspek pula menyamun seorang lagi pelanggan dan menuju ke kaunter salon berkenaan.
“Melihat tindakan dua lelaki terbabit, anggota polis yang berpakaian preman itu kemudian memperkenalkan diri sebagai polis tetapi suspek tidak mengendahkannya dan cuba menyerang anggota terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zainal Rashid memberitahu, keadaan itu memaksa anggota polis tersebut mengeluarkan pistol dan melepaskan tiga das tembakan ke arah suspek yang menyebabkan satu daripada tembakan itu terkena pada lengan kanan seorang suspek.
Katanya, suspek yang cedera itu diberkas dan kini ditempatkan di hospital untuk rawatan manakala seorang lagi rakannya berjaya melarikan diri menaiki kereta Proton Putra hitam yang sedia menunggunya di luar premis tersebut.
Beliau memberitahu, keadaan suspek yang cedera itu dilaporkan stabil dan dijangka pulih dalam beberapa hari lagi.
Tambahnya, pihaknya kini sedang mengesan kenderaan yang dinaiki suspek. - Utusan
No comments:
Post a Comment