KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi?
Dalam perkembangan mengejutkan, tidak sampai 24 jam, bekas penyiasat persendirian Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam yang semalam menuduh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu menerusi akuan bersumpah bertarikh 1 Julai, pagi ini menarik balik tuduhan itu.Semua tuduhan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak tepat dan tidak benar, kata Balasubramaniam menerusi peguam barunya, M. Arulampalam pada sidang akhbar di sini.
Difahamkan peguam Americk Sidhu, yang bersamanya semalam, juga tidak tahu apa yang sedang berlaku.
"Dengan ini, saya menarik balik seluruh isi kandungan dalam akuan bersumpah saya yang bertarikh 1 Julai 2008. Saya membuat akuan bersumpah itu dalam keadaan tertekan," kata beliau yang dipetik Bernama, dalam akuan bersumpahnya yang baru bertarikh hari ini.
Sidang media Balasubramaniam diadakan pukul 10 pagi ini. Pada sidang media 11.30 pagi semalam, Balasubramaniam muncul bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, peguamnya Sivarasa Rasiah dan Americk.
Sivarasa dan Americk dijadual mengadakan sidang media mereka pukul 5 petang.
Akuan bersumpah yang baru itu menyatakan:
"Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah pada bilabila masa (Abdul) Razak (Abdullah) Baginda memberitahu saya yang beliau diperkenalkan kepada Altantuya Shaaribu oleh seorang VIP dan pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya bahawa Datuk Seri Najib telah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya Shaaribu dan beliau (Altantuya) sanggup mengadakan hubungan seks luar tabii.
"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib mengarahkan Razak Baginda untuk menjaga Altantuya Shaaribu kerana beliau tidak mahu dia (Altantuya) menganggunya kerana beliau ialah Timbalan Perdana Menteri.
Semalam Balasubramaniam telah mendedahkan mengenai hubungan langsung Timbalan Perdana Menteri bersama wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh pada Oktober 2006.
"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda dan atau Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak, bersamasama dengan Razak Baginda dan Altantuya Shaaribu telah berjumpa dan bersamasama makan malam di Paris;
"Tidak pernah pada bila-bila masa Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau meminta wang sebanyak US$500,000 sebagai komisen bagi bantuannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris;
"Tidak pernah pada bila-bila masa pun Razak Baginda dan/atau Altantuya Shaaribu memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dengan Altantuya Shaaribu di Singapura;
"Tidak pernah pada bila-bila masa pun Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau mahu saya mengaturkan untuk beliau berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak;
"Tidak pernah pada bila-bila masa saya ada memberitahu polis semasa penyiasatan mereka mengenai sebarang perhubungan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Altantuya Shaaribu kerana perhubungan itu tidak pernah wujud, pada pengetahuan saya.
Oleh yang demikian, kenyataan yang saya tandatangani di hadapan polis sudah selesai;
"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang beliau telah menghantar SMS kepada Datuk Seri Najib pada malam beliau ditahan; dan
"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar SMS kepadanya pada hari beliau ditahan yang menyatakan beliau (Najib) akan berjumpa dengan KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) pada hari berkenaan dan masalah itu akan diselesaikan dan meminta Razak Baginda supaya terus tenang.
Lewat petang semalam, Najib sekali lagi menegaskan yang beliau tidak pernah mengenali Altantuya dan menyifatkan tuduhan mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh itu sebagai "pembohongan dahsyat".
Najib menegaskan, cubaan terbaru itu untuk mengaitkan beliau dengan jenayah h itu adalah "rekaan semata-mata, berniat jahat dan berunsur fitnah untuk mencemarkan imejnya."
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment