18 July 2008

Suami mati masih menabur jasa

Janda terkejut dapat RM100,000

KOTA BHARU - Kematian Abdul Moin Che Mamat akibat sakit jantung bulan lalu menyebabkan keluarganya tiba-tiba hilang tempat bergantung.

Sebagai isteri dan suri rumah, Wan Nab Wan Omar yang selama ini mengharapkan pendapatan Abdul Moin sebagai pengukir emas, hampir putus harapan untuk membesarkan enam anak termasuk tiga yang masih bersekolah

Namun tanpa disangka, satu panggilan telefon yang diterimanya minggu lalu tiba-tiba mengubah nasib mereka selepas Abdul Moin dalam diam rupa-rupanya masih beringat tentang kebajikan keluarga apabila mencarum dalam skim insurans.

Kesannya, keluarga itu menerima wang pampasan RM100,000 dari skim itu semalam.

"Saya terkejut pasal setahu saya, dia (suami) tidak mahu memiliki sebarang skim perlindungan dari mana-mana perunding insurans mahupun perunding kewangan,'' ujarnya yang tinggal menetap di Kampung Bunga Mas dekat sini.

Apa yang tidak diketahui mereka, Abdul Moin telah menyertai skim pelaburan tajaan AmBank cawangan Kota Bharu kira-kira lima bulan lalu dengan caruman RM100 sebulan.

"Saya bersyukur kerana tindakan bijak arwah suami memberi manfaat kepada kami bagi menampung perbelanjaan seharian,'' ujarnya.

Majlis penyerahan cek disempurnakan oleh Pengurus Pembangunan AmBank Kota Bharu, Syed Azaman Syed Mahadzar.

Beliau berhasrat menggunakan wang tersebut untuk mengadakan kenduri arwah, membiayai persekolahan anak manakala selebihnya disimpan sebagai tabungan kecemasan keluarga.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment