SHAH ALAM - "Seelok-eloknya tuan dan puan duduk berbincang dengan dada yang lapang dan buang perasaan dendam kesumat. Tidak cantik perkara mengaibkan dihuraikan."Itulah antara nasihat Hakim Syarie, Saarani Ismail kepada penyanyi Jamaluddin Elias atau Nash dan isterinya, Sosilawati Lawiya untuk menyelesaikan pertelingkahan mereka secara rundingan.
Menurut Saarani, penyelesaian masalah rumah tangga melalui perbicaraan akan menyebabkan banyak cerita tidak manis 'dalam dan luar' pasangan itu terdedah kepada umum.
"Mahkamah tidak boleh mengarahkan perbicaraan ini didengar secara tertutup. Jadi terpulanglah kepada tuan dan puan sama ada hendak menutup (keaiban) masing-masing atau membukanya," ujar beliau.
Saarani kemudiannya mengalu-alukan kes tersebut diselesaikan secara 'sulh' yang bermaksud rundingan secara baik.
Bagaimanapun, beliau menetapkan pada 21 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan seandainya Nash dan Sosilawati gagal mencapai jalan penyelesaian.
Pada prosiding semalam, peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Sosilawati selaku responden
sepatutnya menyoal balas Nash iaitu pemohon dalam permohonan tersebut.
Bagaimanapun, Mohd. Zaidi memohon peluang terakhir kepada mahkamah supaya pasangan tersebut diberikan sedikit lagi masa untuk berbincang dengan baik.
"Saya mengesyorkan peluang ini dibuka kepada mereka. Seandainya pada tarikh akan datang tiada jalan penyelesaian, kami akan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan," kata Mohd. Zaidi.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment