22 July 2008

Sepandai - pandai tupai melompat akhirnya ke tanah jua | Karadzic pembunuh orang Islam Bosnia ditangkap

Karadzic ditangkap di Serbia sebagai penjenayah perang

BELGRADE 22 Julai – Serbia semalam menyatakan, pasukan keselamatannya telah menangkap pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic yang didakwa melakukan pembunuhan kaum.

Penangkapan Karadzic dibuat selepas pemimpin itu hidup sebagai pelarian daripada tribunal jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama hampir 13 tahun.

“Radovan Karadzic telah berjaya dikesan dan ditangkap malam tadi oleh anggota pasukan keselamatan Serbia.

“Karadzic telah dibawa kepada hakim siasatan Mahkamah Jenayah Perang di Belgrade mengikut undang-undang mengenai kerjasama dengan Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY),” tegas kenyataan pejabat Presiden Boris Tadic.

Pejabat Presiden Serbia dan pendakwa raya jenayah perang enggan memberi penjelasan lanjut mengenai kenyataan ringkas tersebut yang tidak menyatakan maklumat mengenai masa dan tempat Karadzic ditangkap.

Bagaimanapun, seorang pegawai jenayah perang berkata, bekas panglima berang Serb Bosnia berusia 63 tahun itu “tidak menentang” penangkapannya dan berada dalam “keadaan tertekan.”

Penangkapan itu menyusul dua minggu selepas kerajaan Serbia dikuasai oleh Parti Demokratik pimpinan Tadic yang pro-Barat dan Kesatuan Eropah (EU) dengan sokongan Parti Sosialis yang pernah dipimpin oleh bekas Presiden Slobodan Milosevic.

Karadzic dan bekas komander tenteranya, Ratko Miladic berjaya mengelakkan diri daripada ICTY sejak 1995 selepas didakwa melakukan jenayah perang, genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan semasa perang Bosnia 1992-1995. – AFP

No comments:

Post a Comment