22 July 2008

Penjara 6 bulan atau denda jika berpoligami tanpa kebenaran

Poligami: Hukuman penjara Abdul Kudus diketepikan

KUALA LUMPUR 22 Julai - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan rayuan bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad untuk mengetepikan hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan berpoligami tanpa kebenaran kira-kira lima tahun lalu.

Sebagai ganti kepada hukuman penjara yang diketepikan itu, Hakim Syarie Mukhyuddin Ibrahim memerintahkan supaya Abdul Kudus, 45, hanya perlu membayar baki denda RM300.

Ini bermakna, jika dihitung jumlah denda (RM700) terdahulu yang belum dijelaskan dengan bakinya, Abdul Kudus membayar RM1,000 atas kesalahan tersebut.

Pada 12 November 2003, Abdul Kudus dihukum penjara sebulan dan denda RM700 ataupun penjara sebulan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini setelah mengaku bersalah atas tuduhan berpoligami tanpa kebenaran.

Abdul Kudus mengaku bersalah atas tuduhan bernikah dengan isteri keduanya, Nazariah Said, 31, tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada mahkamah. Walhal Abdul Kudus ketika itu sudah mempunyai seorang isteri, Halimah Abd. Rahman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 5.30 petang, 14 Disember 2002 di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla Selatan Thailand.

Abdul Kudus didakwa mengikut Seksyen 123 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Hakim bicara ketika itu, membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.

Abdul Kudus diwakili peguam syarie Roslizam Rahim. Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsudin Husin bertindak menjalankan pendakwaan. - Utusan

No comments:

Post a Comment