04 July 2008

Selagi undang-undang Islam tidak ditegakkan, manusia tiada gerun melakukan maksiat termasuk di dalam masjid

Beg lesap ketika solat

BUKIT BERUNTUNG: “Semuanya berlaku sekelip mata. Tidak sangka dalam masjid pun ada pihak yang sanggup menyamun beg tangan menggunakan taktik cukup licik,” kata mangsa samun, Saribani Ibrahim, 39.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 9 malam Ahad lalu ketika dia bersama dua anak, Muhammad Ali Imran Mohd Zahid, 6, dan Fatin Nabila Mohd Zahid, 9, serta adiknya, Siti Hajar Ibrahim, 10, singgah di Masjid Bukit Sentosa di sini, untuk menunaikan solat Isyak.

“Selepas solat Isyak, saya dapati beg tangan berisi wang tunai dan pelbagai dokumen penting diletakkan di barisan hadapan saf wanita lesap. Kemungkinan penjenayah meragut beg itu ketika saya sujud.

“Ketika kejadian, hanya saya dan ahli keluarga berada di ruangan solat wanita. Namun, saya tidak pasti bilangan lelaki yang mengerjakan solat berjemaah itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, Jalan Ros 1B, dekat sini, semalam.

Dia yang juga guru Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung di sini, kehilangan RM300, lesen memandu, kad pengenalan, kunci kereta, cermin mata, buku akaun Maybank, buku akaun Lembaga Tabung Haji, kunci bilik Pusat Sumber Sekolah dan satu ‘pendrive’.

Katanya, kad pengenalan dua anaknya, Mohd Ali Ihsan,15, dan Nurul Najihah, 14, serta MyKid seorang lagi anaknya, Muhammad Ali Imran turut hilang.

“Bukan kali pertama saya datang ke masjid itu. Setiap masa beg tangan dibawa bersama. Kali ini beg itu disamun walaupun dalam masjid.

“Saya masih bernasib baik kerana tidak membawa bersama telefon bimbit,” katanya.

Mangsa bersama suaminya, Mohd Zahid Che Mohd Zain, 41, membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa di sini, kira-kira jam 3 petang Isnin lalu.

Saribani berkata, dia bagaimanapun mendapat semula beg tangan itu yang diserahkan seorang wanita berusia 40-an selepas membuat laporan polis.

“Suami saya mengambil beg tangan daripada wanita itu di Jalan Jenjarum 2B, Bukit Sentosa, jam 7.20 malam. Dia mendapati hanya ada sekeping tanda nama dan penyata gaji bulanan masih ditinggalkan dalam beg.

“Saya terkilan dan sedih kerana kad pengenalan diri dan anak serta dokumen diri lain gagal dipulangkan penjenayah itu. Saya merayu supaya individu terbabit segera memulangkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Balai Bukit Sentosa, Cif Inspektor Babu Abd Salim, mengesahkan menerima laporan mangsa.

Katanya, orang ramai diingatkan tidak membawa pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai ke tempat awam seperti masjid.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment