24 July 2008

Sekalung tahniah buat polis kerana berjaya menembak mati perompak

Lelaki mati ditembak di Subang penjenayah kejam

SHAH ALAM: Polis menyifatkan lelaki yang ditembak mati di Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) berdekatan Subang Utama semalam sebagai tidak berperikemanusiaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata lelaki berumur 26 tahun itu yang juga dikenali dengan gelaran 'Beem Boy' dikehendaki polis kerana terbabit dalam beberapa siri jenayah termasuk menembak mati seorang lelaki dengan 14 das tembakan di sebuah restoran di Taman Sri Muda di sini, April lalu.

Katanya, lelaki itu juga terbabit dalam sembilan kes samun kedai emas termasuk di pusat beli-belah di Subang Jaya yang membabitkan kerugian RM3.2 juta, baru-baru ini.

“Selain bergiat aktif melakukan jenayah di sekitar Lembah Klang, lelaki ini juga turut melakukan jenayah di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, polis terpaksa menembak lelaki berkenaan setelah dia enggan berhenti dalam satu pemeriksaan polis di Lebuh Raya NPE kira-kira jam 1.45 tengah hari.

Khalid berkata selepas kejadian tembak itu, sepasukan polis membuat serbuan di rumah lelaki berkenaan di Subang Jaya dan menahan seorang wanita berumur 24 tahun yang dipercayai isterinya untuk membantu siasatan.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai senjata termasuk dua laras sub mesingun, revolver .38, sepucuk pistol 9mm, pistol tiruan dengan 124 peluru, 414 butir peluru 4.4mm, parang, kapak selain merampas sebuah motosikal dan kenderaan pelbagai guna serta barangan kemas yang disamun.

“Lelaki ini didapati turut melebur barang kemas yang disamun untuk disalut pada salah satu mesingun yang telah dirampas itu,” katanya.

Katanya pada masa sama, polis sedang memburu seorang lagi lelaki yang dipercayai terbabit dengan lelaki berkenaan yang juga disifatkan sebagai berbahaya kerana memiliki senjata api.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan dua lelaki dan merampas sebanyak 3.1 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM84,000 yang disembunyikan dalam tin dan dibawa dalam sebuah kenderaan di kawasan perindustrian Rawang Ahad lalu.

“Kalau ikut anggaran, 3.1 kg heroin itu dapat dijadikan 5,104 tiub dan setiap tiub dijual pada harga RM10,” katanya.

Beliau berkata lelaki berumur 45 dan 41 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

No comments:

Post a Comment