24 July 2008

Peluru Said mengena Idris Jusoh

BPR siasat kos senggara Perdana V6 Terengganu

Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini memulakan siasatan untuk mengesan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam kos senggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu yang mencecah RM175,229.97 sebuah sepanjang empat tahun lalu.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menyiasat kes itu kerana jumlah bayaran menyenggara kenderaan tersebut terlalu besar.

“Kita sudah hantar pegawai untuk siasat kes ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Semalam, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi untuk menyenggara kereta model itu sejak 2004 hingga sekarang.

Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said bagi meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor untuk kegunaan Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan negeri Terengganu.

Ditanya adakah siasatan BPR itu akan menjurus kepada peringkat pengeluaran invois dari bengkel dan mengenal pasti pekerja yang bertanggungjawab menghantar kenderaan-kenderaan itu untuk diservis, Shukri enggan mendedahkan cara dan bentuk siasatan BPR.

“Biar kita siasat dahulu, selepas itu baru kita tahu ada penyelewengan atau tidak,” ujarnya.

Shukri menambah, jika terdapat unsur-unsur penyelewengan, agensi itu akan menjalankan siasatan menyeluruh.

Dalam satu senarai kos senggaraan yang dikeluarkan petang ini, kereta Perdana V6 Executive yang pernah digunakan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mencatatkan kos tertinggi senggaraan.

Dalam tempoh empat tahun antara 2004 dan 2008, kereta Idris disenggarakan dengan kos RM235,123.08.

Sementara itu, di Putrajaya, seorang lagi pegawai kanan BPR menyifatkan ‘ada sesuatu yang tidak kena’ dengan kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive kerajaan Terengganu itu.

Timbalan Ketua Pengarah (1) BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, BPR boleh menyiasat kes itu walaupun ia hanya tersiar dalam akhbar.

“BPR tetap akan siasat... ada sesuatu yang tak kena,” katanya.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment