24 July 2008

Apa yang ditunjukkan Ahmad Said | Tunjuk angkuh?

Kabinet tidak benarkan Exco Terengganu dilarang guna Mercedes sebagai kenderaan rasmi

PUTRAJAYA 23 Julai – Kabinet tidak membenarkan kerajaan negeri Terengganu menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi baru Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Menurut sumber, apabila isu pembelian 14 buah kereta Mercedes itu ditimbulkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Kabinet mahu kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengutamakan kereta nasional Proton Perdana V6 Executive sedia ada.

“Kabinet menolak keputusan kerajaan negeri untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive dengan Mercedes E200 Kompressor.

“Kalau dibenarkan, Jemaah Menteri khuatir langkah kerajaan negeri Terengganu itu akan diikuti negeri-negeri lain. Wakil rakyat tidak boleh menonjol-nonjolkan kemewahan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.

Sumber itu bagaimanapun berkata, Kabinet menyerahkan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk menentukan status pembelian kesemua 14 kereta Mercedes E200 Kompressor berkenaan.

“Kabinet tidak mengulas sama ada perlu kerajaan negeri jual balik kereta-kereta itu tetapi yang diputuskan ialah Kabinet mahukan kereta nasional kekal sebagai kenderaan rasmi pegawai kanan negeri itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini berkata, tiada keputusan baru dibuat oleh Kabinet mengenai pertukaran kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu mungkin salah faham mengenai maksud yang terkandung dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) berkaitan penggunaan kereta nasional.

“Memang ada Arahan Perbendaharaan yang membolehkan pembelian kenderaan yang dipasang dalam negara tetapi bagi anggota pentadbiran, ia khusus kepada kenderaan Proton Perdana Executive. Mungkin itu yang jadi salah faham,” katanya.

Beliau menambah: “Mereka mungkin tak baca, untuk anggota pentadbiran maknanya menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu pakai Proton Perdana, bukan terbuka kepada kenderaan yang dipasang di dalam negara.”

Shahrir berkata, kadang-kadang ada keperluan bagi kegunaan jabatan untuk menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Jadi, jika nak beli jip, tidak boleh beli jip yang diimport tetapi mesti jip yang dipasang sepenuhnya dalam negara,” ujarnya.

Menurut beliau, jika kereta keluaran Proton mempunyai masalah seperti mudah rosak yang memerlukan kos penyenggaraan yang tinggi seperti yang didakwa oleh kerajaan negeri Terengganu, ia sepatutnya dirujuk kepada Proton untuk membolehkan syarikat kereta nasional itu memperbaiki produk mereka.

Kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor dengan kos RM3.43 juta bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Langkah itu dipertahankan oleh Ahmad, Menteri Besar Terengganu, yang mendakwa kereta keluaran Proton amat rendah kualitinya dan ia dijadikan alasan pembelian tersebut.

Walaupun setiap satu kereta Mercedes tersebut dibeli pada harga RM245,000 yang dikatakan lebih murah daripada harga pasaran, namun banyak pihak mengecam kerajaan Terengganu yang membuat pembelian berkenaan kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan Pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment