Tiga bulan tak dibenar lawat anak
SUNGAI PETANI: Ibu kepada Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 23, yang mati dipercayai didera di pusat pemulihan akhlak swasta di Kajang, Selangor, mendakwa diberi keyakinan bahawa anaknya akan menjadi insan terbaik selepas tiga bulan.
“Saya diberi keyakinan seperti itu oleh pihak pengurusan pusat pemulihan terbabit dan kerana itu saya tidak membantah segala syarat mereka,” kata ibu mangsa, Tengku Rohani Tengku Ayob, 52.
Tengku Rohani berkata, akibat tertarik dengan pendekatan dan pengisian agama yang digunakan pusat pemulihan itu menyebabkan Megat dihantar ke situ.
Katanya, Megat pernah belajar di sebuah kolej swasta di daerah itu selama dua bulan sebelum dimasukkan ke pusat pemulihan itu bagi mendalami ilmu agama.
Sebelum itu, dia mengunjungi pusat pemulihan itu dan berjumpa pihak pengurusannya bagi mengetahui kaedah pemulihan.
Selepas diberi penerangan mengenai pendekatan diamalkan, dia tertarik dan yakin dengan cara pengisian agama digunakan, apatah lagi terdapat jabatan agama Islam di situ.
“Kerana terlalu yakin serta mahu melihat Megat menjadi insan soleh, saya menghantarnya ke pusat pemulihan itu pada petang 22 Mei lalu.
“Walaupun menyedari pusat pemulihan itu meletakkan syarat tidak munasabah iaitu tidak boleh bertemu dengan anak selama tiga bulan, namun saya bersetuju demi kebaikan Megat.
“Pada 1 Jun lalu, saya sekali lagi ke situ bagi membayar yuran bulanan RM400, tetapi hasrat menemui anak tidak kesampaian kerana terikat dengan syarat.
“Saya sekali lagi diberi keyakinan Megat akan menjadi insan terbaik selepas tiga bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sejati Indah, semalam.
Sepanjang bulan lalu, Tengku Rohani menghubungi seorang petugas yang dikenali sebagai ustaz bagi mengikuti perkembangan anaknya dan dimaklumkan Megat dalam keadaan baik.
“Pada 26 Jun lalu, jam 5.30 petang, saya menghubungi ustaz itu dua kali bagi mengetahui keadaan Megat, namun tiada jawapan. Dia kemudian menelefon semula dan memaklumkan Megat membuat hal.
“Saya bertanya apa yang dilakukan Megat tetapi dia jawab Megat cuba lari mungkin kerana rindu pada ibu ban bapanya. Bagaimanapun, ustaz itu berkata Megat ditahan semula menyebabkannya tidak menghubungi saya,” katanya.
Malah, kata Tengku Rohani, ustaz itu sekali lagi meyakinkannya Megat sihat dan sedang meneruskan pengisian agamanya.
Bagaimanapun, dia dihubungi suami setengah jam kemudian memaklumkan seorang wanita yang mendakwa isteri pentadbir pusat pemulihan itu memberitahu Megat sudah meninggal dunia dan mayatnya berada di Hospital Ampang.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment