2 dihadap mahkamah
AMPANG: Seorang guru agama dan seorang petugas di Rumah Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelatih rumah kebajikan itu pada Jun lalu.
Guru agama terbabit, Mohammed Azizi Mohd Vello, 25, dan Mohd Shuhaidi Mohamad, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Dr A Vasu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan pertuduhan, Mohammed Azizi dan Mohd Shuhaidi didakwa dengan niat bersama menyebabkan kematian Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 23, dengan memukul menggunakan tangan dan kaki.
Perbuatan itu dilakukan di Perkid, Hulu Langat, Selangor, kira-kira jam 11 pagi, 26 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Noradidah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM7,000 selepas menimbang rayuan tertuduh sebelum menetapkan 2 hingga 5 Februari tahun depan untuk perbicaraan.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment