13 July 2008

Kesalahan tonto itu sangat serius | Mengapa mereka tidak ditangkap polis?

Tonto acu pistol lindungi pencuri pasir

KUALA KUBU BHARU: “Kami menerima ugutan bunuh. Tonto berani mengancam nyawa dengan mengacu pistol kepada pegawai penguat kuasa yang menjalankan operasi pemantauan aktiviti mencuri pasir di sini,” kata Penolong Pegawai Daerah Unit Teknikal dan Penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor, Azizuddin Mohd Hashim.

Menurutnya, dalam operasi membanteras kegiatan mencuri pasir di Kampung Sri Keledang di sini, minggu lalu, beberapa pegawainya menghadapi masalah berikutan kehadiran tonto yang bertindak nekad mengacukan pistol.

“Tindakan berani tonto yang melindungi pencuri pasir di sini bertujuan menggagalkan operasi besar-besaran yang kami jalankan ini. Namun, kami tidak patah semangat malahan menyusun strategi lebih berkesan memantau kegiatan mereka.

“Kami tidak akan tunduk kepada mereka. Sekiranya masih menghadapi masalah sama, kami terpaksa membawa polis ke lokasi bagi membantu menjalankan operasi yang diadakan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Katanya, walaupun kerajaan Perak tidak lagi mengeluarkan permit kepada pengusaha pasir di bekas tapak lombong Southern Kinta Consolidated (SKC) di sini, mulai 1 Julai lalu, arahan itu tidak diendahkan kerana masih ada lori mengangkut pasir melalui jalan kampung di sekitar Gugusan Felda Sungai Dusun di sini.

Menurutnya, sekalipun tugas mereka diganggu tonto terbabit, ia tidak mematahkan semangat pegawai penguat kuasa PTD untuk melaksanakan tugas bagi menghalau anasir luar dan memastikan kesenangan dan keharmonian penduduk dapat dikecapi.

Ketika rondaan semalam juga, didapati beberapa kenderaan dipercayai dipandu tonto mengekori pacuan empat roda yang digunakan penguat kuasa ke setiap lokasi itu.

“Saya yakin kenderaan dipandu tonto mengekori kami itu diupah untuk melindungi operasi pengeluaran pasir secara haram yang diangkut menggunakan lori.

“Kegiatan mengambil pasir secara haram masih berleluasa dan menjejaskan kegiatan pengusaha yang mempunyai permit sah,” katanya.

Azizuddin berkata, operasi pemantauan secara berterusan sentiasa dijalankan bagi menyaman dan menyita peralatan yang digunakan mereka yang mencuri pasir di bekas lombong di kampung itu.

Katanya, aduan pelbagai pihak termasuk penduduk kampung mengenai kegiatan haram sejak beberapa bulan lalu sentiasa diambil perhatian pihaknya yang juga menjalankan kerjasama erat daripada PTD Slim River di Perak.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment