Minta SAPP tarik balik usul
Gerakan Sabah hari ini menggesa Parti Maju Sabah (SAPP) menarik balik ancamannya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Robin Loh berkata, tindakan SAPP tidak mendapat sokongan majoriti sama ada di Sabah atau Semenanjung.
"Gerakan Sabah mahu SAPP lebih bersikap dan mengambil pendekatan berdamai dan cuba menangani masalah dalam semangat Barisan Nasional (BN).
"Kita juga perlu menyokong Perdana Menteri kerana beliau berdepan dengan situasi ekonomi dan politik yang amat sukar," katanya kepada pemberita di sini.
Loh berkata, Gerakan Sabah berikrar memberikan sokongan penuh terhadap Abdullah sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, Gerakan negeri tidak bersetuju dengan pengumuman SAPP untuk mencadangkan undi tidak percaya yang gagal dilakukan semalam.
"Parti kami tidak menganggap langkah itu betul dan wajar bagi sebuah parti komponen dalam gabungan BN yang Abdullah menjadi pengerusinya," katanya.
Robin berkata, Gerakan Sabah turut mempersoalkan tindakan SAPP dalam membangkitkan isu seperti royalti minyak, pendatang tanpa izin dan kenaikan tinggi harga minyak melalui media kerana ada forum yang lebih baik dan efektif bagi parti membangkitkan pelbagai isu.
"Kami juga mengutuk apa yang dianggap ancaman SAPP untuk memihak kepada gabungan Pakatan Rakyat melalui kenyataan dan deklarasi presidennya (Yong Teck Lee).
"Kami mahu mengingatkan para pemimpin SAPP bahawa kewujudan mereka adalah disebabkan BN, terutama dua anggota Parlimen Datuk Eric Majimbun dan Datuk Dr. Chua Soon Bui, yang dipilih atas platform BN," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment