25 June 2008

Badan Pencegah Rasuah (BPR) membocorkan maklumat?

Pas Pulau Pinang buat laporan polis mengenai BPR

BUTTERWORTH: Pas Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis mendakwa Badan Pencegah Rasuah (BPR) membocorkan maklumat mengenai laporan rasuah pilihan raya, menyebabkan usaha menangkap individu yang menawarkan rasuah itu gagal.

Laporan itu dibuat Ahli Jawatankuasa Pas negeri, Zolkifly Md Lazim di Balai Polis Butterworth.

Zolkifly mendakwa pada 24 Februari lalu, beliau memberi maklumat kepada BPR Butterworth berhubung rasuah pilihan raya membabitkan Parlimen Tasek Gelugor, bagaimanapun maklumat itu dipercayai dibocorkan oleh kakitangan badan itu.

“Saya dapati berlaku kebocoran maklumat apabila ejen yang menawarkan rasuah itu menelefon saya dan bertanya kenapa BPR terbabit,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di pejabat BPR di sini, hari ini.

Beliau mendakwa ejen Barisan Nasional (BN) menawarkan RM2 juta kepada calon Pas yang bertanding bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada pilihan raya umum, 8 Mac lalu bertujuan meminta calon itu menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya itu.

“Tawaran itu dibuat melalui saya pada jam 1.30 pagi pada 24 Februari lalu.

"Saya kemudiannya melaporkan kepada BPR melalui telefon. Pada jam 4.30 pagi hari yang sama saya pergi ke pejabat BPR di Butterworth dan ketika itu juga BPR merakamkan perbualan telefon antara saya dan ejen yang menawarkan rasuah itu,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, calon BN, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang bertanding kali pertama menang kerusi Parlimen Tasek Gelugor mengalahkan calon Pas, Ismail Salleh dengan majoriti 4,547 undi. — Bernama

No comments:

Post a Comment